Setelah mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir buat kali ketiga dalam tempoh empat musim terakhir, SMK Bukit Nenas (SMKBN) kini mengidam mahu menamatkan musim dengan menjulang trofi Piala Remaja KPM-FAM (B17).
Pengurus pasukan SMKBN, Nordin Ahmad berkata wakil Terengganu itu mempunyai kualiti diperlukan untuk merampas semula kejuaraan yang terlepas ke tangan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSMBJ) tahun lalu apabila berdepan pasukan pilihan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSMTMI) dalam aksi final d Bandar Penawar, 23 Oktober depan.
“Walaupun kita akan turun sebagai underdog, saya yakin pemain sudah bersedia memberikan yang terbaik pada aksi final nanti. Kita akui SSTMI adalah sebuah pasukan yang hebat, sekolah sukan Malaysia, pemain mereka pun dari seluruh negara. Berbanding kami sekolah sukan negeri.
“Tetapi ini tidak mematahkan semangat kami untuk memburu piala, tahun ini kita mempunyai sebuah pasukan yang mantap di segenap posisi dan berpotensi melangkah jauh. Kita hanya tewas tiga kali untuk sepanjang musim, pemain-pemain bersemangat tinggi dan saya yakin mereka akan terjemahkannya di final nanti,” ujar Nordin.
Sabtu lalu, SMKBN mencatat keputusan seri 1-1 menentang SMK Seberang Temerloh pada aksi separuh akhir kedua di gelanggang lawan namun kemenangan 2-1 pada separuh akhir pertama di Setiu seminggu sebelum itu membolehkan mereka layak ke final menerusi kelebihan agregat 3-2.
Aksi di Temerloh itu menyaksikan Afif Sufyan Azman menjaringkan gol pendahuluan buat SMKBN seawal minit kesembilan sebelum kelebihan itu dipadam Zainal Abidin Jamil pada minit akhir separuh masa pertama.
Sementara itu, lawan SMKBN di final, SSMTMI berdepan detik cemas sebelum mara ke perlawanan akhir menerusi kemenangan agregat 4-2 ke atas SMK Syed Hassan (SMKSH) dari Perlis seterusnya menyalakan peluang memburu gelaran berganda.
Skuad bimbingan Richard Scully itu yang membawa bekalan tiga gol hasil kemenangan 3-0 di Bandar Penawar, berdepan kebangkitan SMKSH di Kangar dan terpaksa akur dengan kekalahan 1-2 – Faiz Nazri menjaringkan dua gol buat SMKSH manakala gol tunggal SSMTMI dijaringkan Farizan Hashim.