PERLUMBAAN Le Tour de Langkawi 2018 bakal menyajikan saingan sengit dengan tiga bandar pemula dan penamat yang baru dimasukkan dalam laluan terkini bagi perlumbaan yang dijadualkan berlangsung dari 18-25 Mac itu.
Ketika mengumumkan demikian, penganjur dan pengurus LTdL 2018 Ciclista Sports Sdn Bhd menyenaraikan Kulim (Peringkat 1), Bentong (Peringkat 5) dan Tanjong Malim (Peringkat 6) dalam jadual perlumbaan kelas 2.HC yang sah akan disertai 22 pasukan itu.
Pendakian setinggi 1430 meter ke Cameron Highlands terus kekal sebagai tumpuan dengan kayuhan sejauh 169.4km yang bermula dari Bentong, dan dijangka memberi gambaran pelumba yang akan memenangi jersi raja bukit.
Bagi menyambung tradisi, Langkawi kekal sebagai salah satu gelanggang, biarpun sekadar venue bagi majlis rasmi Pengenalan Pasukan pada 16 Mac sebelum peloton menghala ke Kangar bagi memulakan peringkat pertama sejauh 147.9 ke Kulim.
Keseluruhannya, saingan LTdL 2018 akan menyusuri lapan negeri dan 16 bandar pemula dan penamat di Semenanjung termasuk di Kedah, Perak, Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Wilayah Persekutuan membabitkan jarak keseluruhan 1,341.2km.
Saingan getir mulai dirasai seawal peringkat kedua (19 Mac) pada laluan Gerik ke Kota Bharu sejauh 208.3km dengan dua bukit kategori 3 (km 28) dan Kategori 1 (km 67.8) dengan ketinggian 1050 meter menunggu peloton.
Selepas itu, para pelumba menyusuri laluan pantai yang landai, beralun dan berangin, menyediakan peluang buat pelumba pecut untuk menaiki podium pada cabaran sejauh 166km dari dari Kota Bharu ke Kuala Terengganu.
Peringkat ke-4, satu lagi peluang buat pakar pecut untuk meraih mata dan gelaran juara peringkat pada cabaran laluan landai sejauh 177.6km dari Dungun ke Pekan yang menyediakan tiga zon pecutan di km 17, km 72 and km 112.
Tumpuan terhala kepada saingan hari kelima yang memberi peluang buat Raja Bukit menyinar menerusi laluan berbukit sejauh 169.4km ke Cameron Highlands. Bermula di Bentong, peloton berdepan pendakian kategori 1 setinggi 1105m di Ringlet sebelum menghala ke penamat di Tanah Rata (Kategori Hors) pada ketinggian 1430m.
Tiga peringkat terakhir menjadi penentu buat pelumba merebut jersi-jersi yang dipertandingkan.
Peringkat ke-6 dari Tapah ke Tanjong Malim keesokannya menyajikan saingan paling pendek sejauh 108.5km sebelum pakar pendaki menyusun strategi untuk meraih mata di enam pendakian untuk merebut podium di peringkat kedua terakhir sejauh 222.4km, yang merupakan laluan terpanjang dari Nilai ke Muar.
Menyudahkan saingan lapan peringkat LTdL 2018, peloton bermula di Rembau untuk kayuhan sejauh 141.km menghala ke lokasi penamat tradisi di Dataran Merdeka Kuala Lumpur untuk melabuhkan tirai saingan buat kali-ke-23.
Sebanyak 22 pasukan yang terdiri daripada pasukan WorldTour, Pro-Continental, Continental serta pasukan kebangsaan telah mengesahkan penyertaan bagi saingan 2018 nanti.
JADUAL DAN LALUAN LE TOUR DE LANGKAWI 2018 Jumaat, 16 Mac 2018
Pengenalan Pasukan (Pulau Langkawi) Ahad, 18 Mac 2018, Peringkat 1
Kangar – Kulim (147.9km) Isnin, 19 Mac 2018, Peringkat 2
Gerik – Kota Bharu (208.3km) Selasa, 20 Mac 2018, Peringkat 3
Kota Bharu – Kuala Terengganu (166km) Rabu, 21 Mac 2018, Peringkat 4
Dungun – Pekan (177.6km) Khamis, 22 Mac 2018, Peringkat 5
Bentong – Cameron Highlands (169.4km) Jumaat, 23 Mac 2018, Peringkat 6
Tapah – Tanjung Malim (108.5km) Sabtu, 24 Mac 2018, Peringkat 7
Nilai – Muar (222.4km) Ahad, 25 Mac 2018, Peringkat 8
Rembau – Kuala Lumpur (141.1km)
Jarak Keseluruhan : 1,341.1km