raneem-el-welily
Raneem El Welily

Oleh Muhammad Aiman

Semangat melawan tinggi di dalam diri Dato’ Nicol David jelas sukar dipadam oleh siapapun dan itu dibuktikannya ketika bangkit dari kekalahan dua set awal untuk menyingkirkan pemain Mesir, Nour El Tayeb di pusingan kedua Kejohanan Skuash Terbuka Amerika Syarikat.

Ratu skuash negara itu di ambang kekalahan setelah ketinggalan 0-2 (4-11, 9-11) kepada El Tayeb namun dia menterjemahkan antara prestasi terbaiknya tahun ini untuk mencatat kemenangan 3-2 menerusi kemenangan 11-4, 11-6, 11-7 untuk melangkah ke suku akhir.

“Dia (Nour) menjadikannya sangat sukar bagi saya, memaksa saya mengerah sepenuh tenaga saya. Saya telah bekerja keras sepanjang musim panas lalu, ketika off-season, dan saya tidak mahu tersingkir tanpa berikan tentangan. Saya berikan apa yang termampu untuk melawan dan gembira untuk akhirnya menang 3-2,” ujar Nicol.

Umum mengetahui, Nicol tidak melalui musim yang baik apabila gagal mempertahankan beberapa kejuaraan utama termasuk Kejuaraan Dunia, terlucut kedudukan nombor satu dunia dan Ogos lalu terlepas gelaran Terbuka Hong Kong yang dimenanginya 10 tahun berturut-turut.

Malah pemain nombor tiga dunia itu juga masih mencari gelaran pertamanya bagi tahun ini dan persoalan sama ada dia mampu melakukannya di kejohanan ini yang pernah dimenanginya tiga kali dari 2012-2014 bergantung kepada sejauh mana dia boleh mengerah kudratnya apabila berdepan seorang lagi pemain Mesir, Raneem El Welily di suku akhir.

Raneem melangkah ke suku akhir setelah menewaskan pemain New Zealand, Joelle King dan ia pastinya satu lagi cabaran sukar buat Nicol apatah lagi Raneem, pemain nombor lima dunia pernah menewaskannya straight set di separuh akhir Pusingan Akhir Siri Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu pada Mei lalu.

Tinggal hanya Nicol meneruskan cabaran negara di Delaware setelah perseorangan lelaki, Nafiizwan Adnan tersingkir di pusingan kedua pada Selasa manakala Delia Arnold tewas seawal pusingan pertama dua hari lalu.

- Advertisement -