2014 Commonwealth Games Glasgow - Mohd Hafifi Bin Mansor
 

 

Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM) berhasrat untuk tidak membenarkan mana mana negeri dimana atletnya terlibat dengan kes doping bertanding di Sukan Malaysia (SUKMA) sesuatu yang tidak relevan.

Kesilapan yang berlaku sepatutnya ditanggung sepenuhnya oleh PABM yang gagal menjaga atlet dengan sebaik baiknya.

“Baru baru ini ketika mesyuarat agung, negeri negeri yang terlibat ada membawa usul. Kita bersedia untuk menggantung negeri yang terlibat, mungkin untuk tempoh dua tahun.

“Tidak boleh letak kepada PABM sahaja, persatuan persatuan negeri terlibat juga perlu bertanggungjawab,”kata pemangku setiausaha PABM, Abu Hanapah Ismail.

Ketika di sidang media baru baru ini, Hanapah secara tidak jelas mengatakan presiden terdahulu tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.

Atlet yang terlibat berada dibawah program pelapis dan elit dibawah Majlis Sukan Negara, justeru kedua dua pihak perlu duduk semeja untuk membincangkan perkara ini dengan lebih mendalam sebelum memutuskan sebarang cadangan.

Mahu atau tidak, angkat berat sepatutnya digugurkan terus daripada SUKMA yang akan berlangsung di Perak pada September sebagai pengajaran kepada semua persatuan, Malaysia tidak akan berkompromi dengan isu doping.

Mungkin tidak adil kepada atlet lain yang tidak terlibat, namun ia perlu ditelan berikutan kegagalan pengurusan tertinggi angkat berat negara dalam menangani isu doping.

Dari satu aspek, kepimpinan baru terpaksa menerima kepahitan dengan hati terbuka jika Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) menggantung PABM.

Ujian doping secara berkala merupakan salah satu kaedah untuk memantau perkembangan atlet dan doping secara berterusan.

Mungkin kos menjadi satu faktor, justeru, pengurusan PABM yang baru perlu mencari formula atau kaedah yang terbaik bagi mengembalikan maruah sukan angkat berat.

Menteri Belia dan Sukan terdahulu, Khairy Jamaluddin memutuskan untuk menggugurkan sukan angkat berat daripada senarai sukan teras Malaysia susulan isu penggunaan doping yang dilihat sebagai serius.

Kerana nila setitik, rosak susu sebelanga, kerana beberapa orang atlet yang menjadi kambing hitam, semua perlu terima, masa depan sukan angkat berat kini suram.

- Advertisement -