Pahang menerima tamparan hebat setelah penyerang utama, Francis Forkey Doe sah tidak dapat digunakan bagi baki aksi Liga Malaysia musim ini kerana kecederaan lutut.
Pemain digelar ‘the predator’ yang sudahpun menjaringkan lebih dari 100 gol dalam saingan Liga Malaysia itu mengalami kecederaan itu seawal minit ke-10 ketika aksi pusingan ketiga Piala FA menentang Kedah dua minggu lalu.
Walaupun pada mulanya dijangka akan tersisih hanya untuk beberapa minggu, namun Dollah mengesahkan kecederaan pemain Liberia itu serius dan khidmatnya untuk 2018 sudah boleh dilupakan.
“Kita menang semua perlawanan selepas kehadirannya, dia membentuk gandingan yang cemerlang bersama Patrick Cruz dan menunjukkan sentuhan jaringan yang hebat. Jadi sudah tentu ia satu kehilangan besar. Kini saya perlu memikirkan bagaimana untuk memastikan barisan serangan kekal tajam tanpa Doe,” kata Dollah Salleh ketika dihubungi Sports247.
Doe sebelum ini disebut bakal mencabar kasut emas Liga Super – anugerah yang pernah dimenanginya pada 2012 – setelah menunjukkan penyudah berbisa dengan menjaringkan lima gol dalam tiga perlawanan.
Dengan ketiadaan Doe, Pahang akan meneruskan saingan dengan empat import dan akan mempertimbangkan sama ada mahu membawa masuk import lain sebagai pengganti pada jendela perpindahan Mei nanti.
Hakikatnya walaupun tanpa Doe, perlu diakui Pahang tetap mempunyai barisan serangan yang wajar dicemburui pasukan lain dengan adanya Mohamadou Sumareh, Chan Vathanaka, Patrick Cruz , Norshahrul Idlan Talaha dan penyerang skuad B-23 kebangsaan, R.Kogileswaran.
Skuad tok gajah ketika ini berada di prestasi terbaik – menduduki tangga kedua Liga Super dan akan bertemu JDT dalam suku akhir Piala FA. – OLEH MUHAMMAD AIMAN