Catatan lapan dibawah par pada hari pertama menyaksikan pemain kelahiran Australia, Cameron Smith mendahului hari pertama secara berseorangan di kejohanan golf jelajah PGA, CIMB Classic 2017.
Lapangan golf TPC, Bukit Kiara sekali menjadi tumpuan peminat sukan golf dalam dan luar negara yang akan berkampung sepanjang minggu ini untuk menanti juara bagi edisi kelapan.
Daripada 78 pemain yang beraksi pada hari pertama, pemain kelahiran Australia, Cameron Smith paling menyerlah.
Pemain berusia 24 tahun ini ternyata tenang sepanjang permainan untuk mengelak catatan bogey.
Sembilan lubang pertama, Smith membenam lima birdie termasuk tiga berturut turut di lubang ke 3, 4 dan 5 sebelum menambah dua lagi di lubang ke 7 dan 9.
Tatkala ramai yang bergelut untuk mengekalkan fokus di dalam keadaan yang panas, pemain yang berasal dari Brisbane ini terus konsisten apabila menambah tiga lagi birdie di lubang ke 14, 16 dan 17 sekaligus menutup hari pertama dengan catatan 64 pukulan 8 dibawah par.
“Ianya mudah. Saya bermian dengan baik dengan putting yang kemas sepanjang permainan hari ini.
“Saya membesar di Brisbane, keadaan dan cuaca di sini hampir sama tetapi keadaan di sini lebih panas tetapi saya seronok bermain di dalam cuaca panas,”kata Cameron Smith.
Dikedudukan kedua, ketinggalan satu pukulan adalah tiga pemain, Poom Saksansin dari Thailand, Xander Schauffele dari Amerika Syarikat dan Keegan Bradley yang mengumpul tujuh dibawah par selepas tamat hari pertama.
Saksansin mempamer aksi mantap di Sembilan lubang terakhir selepas sekadar mencatat 1 dibawah  par diawal permainan.
Semangatnya kian melonjak apabila membenam 4 birdie berturut turut bermula di lubang pertama sebelum menutup saingan dengan dua birdie di lubang ke 17 dan 18 untuk catatan terkumpul 65 pukulan 7 dibawah par.
“Di sini, jarak paling jauh adalah dilubang ke 13, yang lain adalah biasa untuk saya.
“Tekanan yang saya rasai hanya 50 peratus sahaja kerana tiada cut off di kejohanan ini,”kata Saksansin.
Xander turut bermain cemerlang tanpa sebarang catatan bogey, memulakan dilubang ke 10 dengan empat dibawah par diawal saingan sebelum menambah tiga lagi birdie di lubang ke 2, 5 dan 6 untuk berkongsi kedudukan dengan Saksansin di tangga kedua.
Seorang lagi wakil Amerika Syarikat, Kevin Na pastinya pulang hampa apabila catatan bogey meranapkan impiannya untuk berada di kedudukan teratas selaku pendahulu bersama sama Smith.
Kevin bermula baik dengan empat birdie di sembilan lubang pertama namun goyah seketika apabila melakar bogey di lubang ke 13.
Beliau kembali fokus untuk membenam  dua lagi birdie dilubang ke 14 dan 15 sebelum melakar senyuman selepas catatan eagle dilubang 16.
Impiannya untuk sekurang kurangnya menutup hari pertama dengan lapan dibawah par musnah apabila mencatat bogey kedua dilubang terakhir sekaligus akur dengan catatan 66 pukulan 6 dibawah par untuk berada di kedudukan keempat bersama sama rakan senegara, Gary Woodland.
“Segalanya baik diawal permainan dengan birdie di lubang par 5 seperti yang diharapkan dan catatan eagle di lubang ke 16 adalah yang terbaik.
“Saya kecewa kerana menamatkan permainan dengan bogey sedangkan mampu untuk mencatat birdie ditambah dengan chipping dan putting yang hambar,”kata Kevin Na.
Dalam pada itu, juara dua kali berturut turut, Justin Thomas gagal untuk bermain dengan baik di hari pertama apabila menamatkan saingan dikedudukan ke 23 dengan catatan 70 pukulan 2 di bawah par. OLEH KU MOHD LUFTIÂ
Kedudukan pemain Kejohanan Golf Jelajah PGA CIMB Classic 2017
Hari Pertama
Cameron Smith                        64 (-8)
Poom Saksansin                      65 (-7)
Xander Schauffele                   65 (-7)
Keegan Bradley                       65 (-7)
Kevin Na                                 66 (-6)
Gary Woodland                       66 (-6)
Pat Perez                                66 (-6)