PELUMBA EF Education-EasyPost, Simon Carr mempamer kehebatannya dalam pendakian untuk menjuarai laluan paling sukar Peringkat 5 PETRONAS Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL), dari Slim River ke Genting Highlands, hari ini.
Lebih manis buat pasukan berpangkalan di Amerika Syarikat itu apabila rakan sepasukan Carr, Alexander Jefferson Cepeda menduduki tempat kedua – sekaligus menebus kehampaan pasukan ‘pink’ itu tahun lalu yang gagal menerusi Hugh Carthy.
Atas kecemerlangan Carr, 25, pelumba kelahiran Hereford, Britain itu juga menjadi penyarung terbaru jersi hijau PETRONAS selaku pendahulu keseluruhan dalam menghadapi tiga baki peringkat selepas ini.
“Saya gembira dan mendedikasikan kemenangan hari ini kepada mendiang datuk saya, Tony yang meninggal dunia minggu lalu. Ini juga menebus kehampaan pasukan ini yang sering berbual mengenai kegagalan EF di Genting tahun lalu.
“Dalam perlumbaan hari ini, rakan sepasukan tenang ketika mengejar kelompok pemecah di depan, bermula dengan Scully (Thomas), Michael (Valgren), (Christian) Eiking dan kemudian Jardi (Van der Lee).
“Apabila tiba pada 5km terakhir, saya terus mengekalkan mula menguji Cepeda dan terus berada di depan. Hanya selepas melepasi sekumpulan peminat yang begitu ramai dan melihat papan tanda 2km terakhir, barulah saya yakin akan menang,” kata Carr yang menyertai EF Education sejak 2021.
Dia menamatkan kayuhan sejauh 126.4km dari Slim River itu dengan masa 3 jam 24 minit 06 saat, 39 saat di depan Cepeda dan 48 saat di depan pelumba tempat ketiga dari Equipo Kern Pharma, Pablo Castrillo Zapater.
Pencapaian EF Education itu menjadikan mereka sebagai pasukan kelima dalam sejarah 27 tahun LTdL yang mampu mencatat kedudukan 1-2; selepas MG Maglificio Technogym pada 1997; Mapei-Bricobi (1998); Colombia-Selle Italia (2004) dan Serramenti PVC Diquigiovanni-Androni Giocattoli (2007).
Pelumba Tudor Pro Cycling, Simon Pellaud yang berada dalam kumpulan 8 pelumba yang membuat pemecahan dan menguasai zon pendakian awal di Rawang Bypass dan Gombak masih mengekalkan jersi polka dot Raja Bukit TOURISM MALAYSIA selepas menambah 12 lagi mata dalam, menjadikan jumlah keseluruhan 32 mata.
Atas usahanya itu, Pellaud turut dinamakan sebagai penerima ‘Most Combativity Award’ tajaan BUBBLES O2.
Rakan sepasukan yang juga pemenang Peringkat 1 di Kuala Terengganu, Arvid de Kleijn juga masih mengekalkan jersi oren Raja Pecut tajaan KBS, sejak hari pertama dengan 30 mata, 1 mata di depan pencabar terdekat Enrico Zanoncello (Green Project-Bardiani CSF-Faizane).
Bagaimanapun, jersi putih BEAUTIFUL TERENGGANU untuk saingan Pelumba Terbaik Asia yang beberapa kali bertukar tangan sebelum ini, turut beralih kepada pelumba Astana Qazaqstan, Vadim Pronskiy yang menduduki tempat kelima pada peringkat sukar itu.
Walaupun kurang berpuas hati dengan prestasinya hari ini, dia tetap gembira dengan jersi putih itu dan mengakui barisan pelumba EF Education lebih bagus pada edisi 2023 ini.
Pelumba Kazakhstan itu berada 2 minit 15 saat di depan pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG), Jambaljamts Sainbayar dalam saingan Pelumba Terbaik Asia.
Sejak awal, perlumbaan bermula agresif dan sudah menyaksikan sekelompok lapan pelumba yang membuat pemecahan, termasuk Pellaud, Manuele Tarozzi (Bardiani), Gijs Van Hoecke (Human Powered), Xabier Isasa (Euskaltel), Alessandro Iacchi (Corratec), Maris Bognadovis (Hengxiang), Joshua Pascual (7-Eleven) dan Nur Amirull Mazuki (Malaysia) cuba menjarakkan diri dan berada kira-kira 4 minit di depan peloton.
Hanya selepas tiba di kaki Genting Sempah, barulah pasukan EF Education mengambil alih bahagian depan peloton dan cuba menangkap kumpulan depan yang semakin mengecil.
Hanya Pellaud dan Tarozzi cuba bertahan tetapi mereka juga akhirnya ditelan sebelum sekumpulan 25 pakar pendaki menjarakkan diri jauh di depan.
Kumpulan depan ini juga semakin mengecil dan pada baki 6km, Cepeda cuba meloloskan diri tetapi gagal sebelum Carr, memintasnya dan tiba secara solo di garisan penamat.
Berdasarkan keputusan rasmi, seramai 4 pelumba tersingkir daripada perlumbaan hari ini atas pelbagai kesalahan, menjadikan hanya 117 pelumba yang akan bermula esok.
Peringkat 6 LTdL 2023 disambung esok, membabitkan kayuhan dari Karak ke Melaka sejauh 174.5km yang mengandungi dua zon pendakian mudah di Gapoi (Km20) dan Luak Inas (Km104.6) dan tiga zon pecutan di Pelangai (Km34.4), Batu Kikir (Km81,8) dan Kuala Pilah (96.4).
Dijangka, EF Education akan sekali lagi bertindak mengawal tempo kayuhan untuk melindungi jersi hijau PETRONAS Carr dan pertarungan sengit dijangka berlaku di sepanjang zon pecutan dan pecutan terakhir di antara De Kleijn, Zanoncello dan George Jackson (Bolton Equities Black Spoke) bagi jersi Raja Pecut.
Dengan tema ‘Beat The Heat’, LTdL 2023 dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Suan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), membabitkan jarak keseluruhan 1,278km.