Bulan lalu, ketika tumpuan peminat sukan terarah sepenuhnya kepada kerancakkan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, sekolah sukan dari Pulau Pinang, SMK Mutiara Impian gah mengibar Jalur Gemilang di Piala Remaja Gothia China.
Pasukan yang juga dikenali dengan jolokan BlackTigers itu mencuri tumpuan apabila melangkah sehingga ke pentas final kategori bawah 14 tahun sebelum berpuas hati dengan gelaran naib juara setelah tewas kepada wakil dari Jepun, Japan League Juniors.
Untuk rekod, Piala Gothia China adalah diilhamkan daripada kejohanan remaja terbesar dunia, Piala Remaja Gothia yang diadakan di Sweden setiap tahun. Ianya berlangsung membabitkan lebih dari 160 pasukan remaja dari seluruh dunia.
Dalam laluan ke final, skuad bimbingan Faqhri Sobri itu mengekalkan rekod bersih menang kesemua empat perlawanan peringkat kumpulan menewaskan pencabar-pencabar dari Australia dan China diikuti kemenangan ke atas Sekolah Sukan Shenyang di suku akhir dan Chelsea Soccer School Hong Kong di separuh akhir.
Walaupun mengakui pencapaian cemerlang itu sebagai satu kebanggaan, namun Mutiara Impian tidak mahu mendabik dada dan terbuai sebaliknya tekad akan terus memperkasakan program pembangunan mereka bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti yang berdaya saing di pentas antarabangsa.
Menurut Faqhri, “Kita pergi dengan sasaran berada dalam kelompok empat terbaik, jadi pencapaian sebagai finalis ini membuktikan bahawa tidak jauh bezanya antara pasukan dari Malaysia dengan pasukan dari luar. Kami hanya tewas sekali sepanjang kejohanan itupun di final.
“Kalau tengok pasukan dari Jepun yang menewaskan kita itu, mereka sendiri mengambil pemain dari kelab-kelab sekitar Jepun untuk bertanding di sini, tetapi bayangkan kami pula hanyalah sebuah sekolah.
“Tidak mustahil dengan pembangunan dan perancangan yang tersusun terutama menerusi Liga Kementerian Pendidikan (KPM) kita akan dapat melahirkan ramai pemain berbakat dan ini indikasi awal bolasepak kita mempunyai masa depan yang cerah.”
Faqhri turut menjelaskan bermain di Piala Gothia China adalah pengalaman pertama pemain-pemainnya di pentas antarabangsa dan beliau percaya dengan pendedahan berterusan serta penyertaan di pertandingan kompetitif seperti ini akan menjadikan mereka lebih bagus dan matang.
Mengenai perancangan seterusnya bagi Mutiara Impian, Faqhri berkata sasaran jangka pendek mereka adalah memburu tempat di separuh akhir Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM B-14) yang sedang menghampiri kemuncaknya.
“Selepas ini kami akan kembali memberi tumpuan kepada Liga KPM B-14 tetapi untuk jangka panjang kami mahu bekerjasama dengan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang untuk menyerap pemain-pemain berbakat ini ke dalam skuad B-19 negeri,” katanya.
Dalam saingan Liga KPM B-14 yang menuju ke aksi minggu terakhir peringkat kumpulan pada Sabtu ini, Mutiara Impian yang merupakan pendahulu bagi saingan Liga Super akan menentang SMK Seberang Temerloh dari Pahang dan kemenangan akan menyaksikan mereka meneruskan kemaraan ke peringkat separuh akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN