Dua jaringan pantas pada minit 23 dan 25 menjadi pemangkin di sebalik kejayaan Johor Darul Ta’zim membenam cabaran PJ City melalui kemenangan 4-0 di Stadium Sultan Ibrahim, pada Selasa.
Menurut ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, lawan tampil dengan rentak bertahan yang baik pada permulaan lawan sehingga menyukarkan pemainnya untuk mencipta peluang.
Namun, dua jaringan melalui Bergson da Silva dan Fernando Forestieri nyata mengubah suasana perlawanan yang memihak kepada JDT.
” PJ City sentiasa menjadi lawan yang kuat kerana mereka baik dari fizikal, bermain secara tersusun dan sentiasa berikan saingan dalam banyak aspek.
” Kami berjaya mendapatkan jaringan yang penting dalam saat yang tepat walaupun mungkin tidak seawal yang diharapkan.
” Selepas jaringan itu, situasi bertambah mudah buat saya dan pasukan kerana kami boleh mengawal perlawanan dengan lebih selesa.
” Lawan yang menggunakan formasi 5-3-2 dan ada kalanya 5-4-1, agak kompak di bahagian pertahanan malah tiada juga ruang banyak di bahagian tengah.
” Jadi kami cuba sepantas yang boleh mengekalkan penguasaan bola bagi memberikan tekanan kepada lima pemain di bahagian pertahanan, ” katanya.
Mendahului 2-0 di separuh masa pertama, JDT menambah dua lagi jaringan melalui Bergson (minit 65) dan Forestieri (minit 85).
Kemenangan ini mengukuhkan lagi cengkaman JDT di persada Liga Super dengan pungutan 22 mata,meninggalkan pencabar terdekat, Sabah melalui perbezaan tiga mata.
Sementara itu, pengendali PJ City, P.Maniam, sukar menerima hakikat pasukannya tewas dengan angka jaringan yang agak besar kepada JDT.
Bagaimanapun, beliau akur situasi sebegitu boleh terjadi bola sepak jika ada melakukan sebarang kesilapan yang boleh dihukum lawan.
” Pemain-pemain saya telah berikan yang terbaik tetapi kami tewas kepada pasukan yang sangat berkualiti.
” Pihak lawan mendapatkan dua gol di separuh masa pertama dan saya fikirkan kami tidak seharusnya berikan sepakan percuma yang menjadi punca kepada jaringan kedua.
” Kami cuba bangkit di babak kedua untuk lebih cuba menyerang namun lawan berjaya mendapatkan jaringan ketiga melalui serangan balas selain kesilapan individu menjadi punca kepada gol keempat.
” Memang sedih dan tidak patut kami tewas dengan empat gol namun inilah bola sepak, kami akan cuba perbaiki kesilapan untuk perlawanan akan datang,” katanya.