Langkah berterusan diambil Malaysia Football League (MFL) di dalam menambahbaik kualiti saingan Liga Malaysia dianggap sebagai salah satu faktor utama yang memacu langkahan Harimau Malaya sehingga ke pentas final Piala AFF Suzuki 2018.
Jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berkata beberapa perubahan antaranya penyusunan jadual yang lebih efisien telah membantu pemain negara untuk berada di tahap prestasi terbaik mereka.
“Saya perlu akui kredit perlu diberikan kepada MFL. Mereka telah menyusun jadual dengan baik yang mana pemain beraksi dalam perlawanan kompetitif dari awal hingga hujung musim dan ini membantu mereka dari segi momentum dan stamina sebelum Piala AFF bermula.
“Selain itu MFL juga telah berjaya mencipta satu fenomena lebih meriah dengan memperkenalkan kuota pemain import ASEAN. Ramai pemain asing berkualiti dari rantau Asia Tenggara dibawa masuk dan ini sekaligus membantu perkembangan pemain tempatan kita,” kata pengendali berusia 50 tahun itu.
Sebagai rekod, MFL menerusi cetusan idea pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengambil langkah berani dengan menambah jumlah pemain import kepada lima bagi pasukan Liga Super bermula musim 2018, berbanding empat pada musim-musim terdahulu menerusi pengenalan kuota pemain ASEAN.
Mereka kemudiannya membuat keputusan mengasingkan semula saingan Liga Super/Liga Premier dan Piala Malaysia selain memperkenalkan pertandingan Piala Cabaran bagi memastikan kesemua pasukan mengharungi aksi kompetitif sehingga hujung musim.
Malah, badan pengelola itu juga tidak berganjak dengan keputusan untuk meneruskan saingan Piala Malaysia ketika sedang berlangsungnya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 pada Ogos lalu meskipun ianya menerima kecaman hebat berikutan menimbulkan masalah pelepasan pemain dan ia membantu Cheng Hoe untuk mempersiapkan skuadnya lebih awal.
Hasilnya, bukan sahaja Harimau Malaya melangkah gah ke final tetapi turut menyaksikan peningkatan yang cukup positif pada prestasi pemain muda antaranya Syahmi Safari, Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak, Syamer Kutty Abba, Akhyar Rashid dan tidak lupa Pemain Paling Bernilai Liga Malaysia Safawi Rasid.
“Saya mewakili skuad Piala Presiden Selangor pada 2016 dan mendapat peluang bermain bersama skuad Liga Super Selangor pada 2017 setelah MFL membuka kuota pemain muda untuk berada dalam skuad utama.
“Daripada situ saya beroleh pendedahan dan dapat tingkatkan prestasi dengan menimba pengalaman bermain dengan pemain senior dan import,” ujar Syahmi yang meledak jaringan pertama dari jarak jauh ketika Malaysia dan Thailand seri 2-2 dalam aksi kedua separuh akhir di Stadium Rajamangala, Rabu lalu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN