Selepas tewas dalam aksi persahabatan antarabangsa menentang Taiwan pada Jumaat, Katua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe memburu keputusan yang positif di Stadium Nasional Olimpik, Phonm Penh berdepan Kemboja esok.
Cheng Hoe sedar ia bukan tugas mudah kerana Anchor Warriors kini menggunakan khidmat bekas pemain antarabangsa Jepun, Keisuke Honda sebagai pengendali.
“Kami telah bermain dengan Kemboja beberapa kali sebelum ini dan setiap kali ia bukan mudah. Lebih-lebih kali ini dengan kehadiran Honda yang kita semua tahu adalah pemain yang digeruni semasa mewakli skuad kebangsaan Jepun.
“Kami hanya rehat selama dua hari selepas pertemuan dengan Taiwan dan adalah penting untuk mencaturkan pemain bagi memastikan pemain cukup bersedia untuk perlawanan esok,”kata Cheng Hoe
Pertemuan terakhir Malaysia dan Kemboja ketika saingan Piala AFF 2016 dimana skuad kendalian Tan Cheng Hoe melakar kemenangan tipis 3-2.
Dalam pada itu, pemain tengah Johor Darul Takzim, Nazmi Faiz Mansor yang menggalas tugas sebagai kapten pasukan mengharapkan kemenangan untuk mengembalikan semangat pemain pemain selepas tewas kepada Taiwan.
“Sudah tentu kami sangat teruja melihat Honda melatih skuad Kemboja dengan menyuntik semangat baharu. Walaupun satu pertemuan yang mencabar tetapi kami mahu bangkit untuk mencapai kemenangan selepas kalah 2-0 dengan Taiwan, Jumaat lalu,” kata Nazmi
Tiga lagi aksi persahabatan bakal diharungi Harimau Malaya selepas Taiwan dan Kemboja, iaitu berdepan Sri Lanka di Colombo pada 12 Oktober sebelum menentang Republik Kyrgyzstan dan Maldives, pada 16 Oktober dan 3 November depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.