Pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe nyata kecewa dengan keadaan padang di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur meskipun Malaysia melakar kemenangan 2-0 ke atas Nepal dalam aksi antarabangsa baru baru ini.

Keadaan rumput yang tampak gagal diurus dengan baik ditambah dengan keadaan cuaca hujan ketika perlawanan tampak merencatkan corak permainan Harimau Malaya dan ia sesuatu yang kurang disenangi oleh Tan Cheng Hoe.

‘Memandangkan anda (wartawan) sudah menyentuh tentang perkara ini, saya perlu nyatakan yang kami tidak gembira dengan keadaan padang dan ianya tidak sesuai dengan corak permainan pasukan.

‘Keadaan padang menyukarkan corak hantaran dan pergerakan pemain pemain dan ianya juga menyukarkan kami untuk mencipta jaringan. Walaubagaimanapun, ini bukan alasan untuk saya gunakan tetapi secara jujur saya berharap di masa akan datang, kami perlukan padang yang berkualiti,’kata Cheng Hoe ketika sidang media selepas perlawanan menentang Nepal.

Kesukaran Harimau Malaya untuk melakukan persiapan menjelang aksi persahabatan Nepal ‘timbul’ selepas pertukaran venue latihan dari UM Arena ke Institut Semarak FELDA di Bangi susulan keadaan padang yang tidak mengizinkan kerana cuaca hujan.

 

 

Padang di Institut Semarak FELDA juga secara logiknya tidak bersesuaian memandangkan padang yang ada merupakan padang rumput tiruan sedangkan perlawanan bakal berlangsung menggunakan rumput semulajadi.

Venue latihan ketika persiapan Piala Suzuki AFF 2018 tahun lalu di Nilai tampak tidak sesuai berikutan faktor jarak perjalanan selain ketiadaan lampu limpah untuk menjalani sesi latihan disebelah malam.

Stadium Nasional Bukit Jalil bakal menjadi venue bagi aksi timbal balik Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste.

Justeru, segalanya bergantung kepada pengurusan Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) untuk mendengar keluhan daripada Tan Cheng Hoe demi memastikan Harimau Malaya diberikan ‘layanan’ yang selayaknya dan berbaloi dengan nilai perbelanjaan yang dikeluarkan untuk menggunakan fasiliti yang ada.

 

- Advertisement -