cheng.hoe

Oleh Muhammad Aiman

Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe dijangka akan memperbaharui kontraknya bersama skuad juara Piala Malaysia itu dalam tempoh terdekat.

Kontrak Cheng Hoe yang baru sahaja pulang dari kursus kejurulatihan selama 10 hari bersama kelab di Belgium telahpun tamat pada hujung bulan lalu dan pengendali berusia 48 tahun itu mengesahkan dia sedang dalam proses rundingan bersama Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi memperbaharui kontrak.

“Saya percaya segala urusan mengenai kontrak akan selesai beberapa hari lagi, rundingan di fasa terakhir dan kami sedang memuktamadkan beberapa terma baru dalam kontrak. Saya ada menerima beberapa tawaran lain, tapi saya mahu kekal bersama Kedah,” kata Cheng Hoe yang turut pernah berkhidmat sebagai penolong jurulatih kebangsaan.

Cheng Hoe pada musim 2016 berjaya membawa Lang Merah muncul juara Piala Malaysia selain menduduki tangga ketiga Liga Super, manakala setahun sebelumnya dia membimbing pasukan itu menjuarai Liga Premier serta muncul naib juara Piala Malaysia.

Mengenai barisan pemain, Cheng Hoe berkata pemain tonggak seperti Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon dan Rizal Ghazali masih mempunyai kontrak bersama pasukan, manakala pengurusan telah membuat keputusan mengekalkan khidmat dua pemain import, Liridon Krasniqi dan Sandro Mendonca.

“Pencarian akan diteruskan bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Bang (Seung Hwan) dan Shane (Schmeltz). Kita ada dua kekosongan import dan saya lebih gemar untuk mencari pemain dari Asia bagi posisi pertahanan bagi mengisi kuota pemain Asia. Kita juga akan menyerap beberapa pemain muda,” kata Cheng Hoe yang mempunyai seramai lapan pemain berusia bawah 22 tahun di dalam skuadnya musim lalu.

Kedah juga dilaporkan membawa masuk bekas pemain Pulau Pinang, Fitri Omar dan pemain JDT II, Akram Mahinan selain melepaskan pemain pertahanan, Sabre Mat Abu yang menyertai PKNS Selangor.  

- Advertisement -