Pengendali skuad bolasepak kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap Tahun Baru Cina yang diraikan hari ini akan membawa tuah kepadanya untuk merubah nasib dan masa depan skuad negara. Â Â Â
Umum mengetahui, Malaysia menutup 2017 dengan nota suram gagal merekodkan walau satupun kemenangan dalam lapan perlawanan yang diharungi – dua keputusan seri dan enam kekalahan – rekod yang pastinya mahu dilupakan.
Malah, jika dicampur dengan kekalahan dalam dua aksi terakhir pada November 2016, maka Harimau Malaya sebenarnya telah mengharungi 10 perlawanan tanpa kemenangan. Kemenangan ke atas Kemboja pada 20 November 2016 kekal sebagai kemenangan terakhir.
Malah prestasi buruk itu telah membawa Malaysia jatuh ke kedudukan terburuk dalam sejarah ranking dunia FIFA iaitu ke-175 dunia, dan ianya tidak berubah dalam senarai kemaskini terbaru yang dikeluarkan pada Khamis. Lebih memalukan kita kini berada di bawah pasukan seperti Singapura, Indonesia, Myanmar dan Kemboja, dan dilihat sudah setaraf Brunei, Timor Leste dan Laos.
Justeru Cheng Hoe, sedar kemenangan adalah sesuatu yang sangat diperlukan ketika ini untuk menyuntik motivasi baru di kalangan pemain serta mengembalikan semula keyakinan di kalangan penyokong yang semakin tawar hati untuk memberikan sokongan, sekaligus menandakan bermulanya detik kebangkitan.
Pada ketika Malaysia turun menentang Mongolia dalam aksi persahabatan 22 Mac depan di Stadium Nasional Bukit Jalil, yang juga akan menjadi tugasan pertama Cheng Hoe sejak mengambil alih tugas dari Nelo Vingada, kemarau kemenangan Malaysia sudahpun melebar kepada 15 bulan.
“Sebagai jurulatih, saya hanya mahu buat yang terbaik. Saya yakin skuad negara kali ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik berbanding skuad tahun lalu. Kita mahu buka buku baru, lembaran baru dan paling penting kembali semula ke landasan kemenangan setelah sekian lama.
“Benda yang sudah berlalu kita tidak boleh ubah, tapi kita boleh ubah apa yang akan berlaku. Kita jadikan cerita 2017 sebagai satu panduan dan pengalaman berguna, sekarang kita fokus kepada usaha untuk kembali bangkit.
“Selepas menentang Mongolia, kita terbang ke Beirut untuk menentang Lubnan pada 27 Mac (aksi terakhir kelayakan Piala Asia Kumpulan B), jadi ayuh kita harapkan sesuatu dapat dicapai dalam dua aksi pertama ini. Itu akan memberi gambaran awal akan perjalanan kita bagi tahun ini,” kata Cheng Hoe.
Bagi Malaysia, aksi menentang Lubnan hanyalah sekadar pelengkap jadual kumpulan kerana mereka sudahpun tersingkir dari saingan setelah sekadar mengutip satu mata dari lima perlawanan yang telah diharungi iaitu ketika seri 2-2 menentang Hong Kong.
Lubnan telahpun mengesahkan tempat mereka di pusingan akhir selaku juara Kumpulan B setelah mengumpul 13 mata manakala satu lagi slot menjadi buruan antara Korea Utara dan Hong Kong.OLEH MUHD AIMANÂ
       Â