Ketika Tan Cheng Hoe membuat keputusan meninggalkan Kedah pada bulan Mei lalu untuk menyertai kem skuad kebangsaan, ramai yang berpendapat seharusnya dia diberi tanggungjawab selaku ketua jurulatih, bukannya sebagai penolong – mengambil kira reputasinya selaku jurulatih terbaik dalam negara.
Akhirnya, ia kini menjadi kenyataan. Cheng Hoe yang turut pernah menyandang jawatan penolong jurulatih ketika era Datuk Rajagobal dilantik sebagai pengendali baru Harimau Malaya, dalam tempoh 24 jam selepas Nelo Vingada mengumumkan peletakan jawatannya.
Vingada melepaskan jawatannya kurang tujuh bulan selepas dilantik sebagai jurulatih skuad negara, sebagai rasa tanggungjawab di atas prestasi buruk skuad kebangsaan, tidak menang walau satu daripada tujuh perlawanan di bawah kendaliannya termasuk aksi persahabatan selain ranking dunia yang menjunam ke kedudukan terburuk, 174.
“Sudah tentu saya terkejut dengan pelantikan ini, ia satu amanah dan tanggungjawab besar, dan saya akan balas kepercayaan diberi sebaik mungkin. Kita sudah melalui satu fasa yang cukup suram, saya sedar harapan penyokong cukup tinggi untuk melihat ianya berubah dan kembali bersinar.
“Saya akui ia bukan mudah dan akan berbincang lebih lanjut dengan Presiden (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) sebelum menentukan perancangan untuk 2018, dan akan turut membuat penilaian semula ke atas semua pemain yang dipanggil ke kem kebangsaan,” kata Cheng Hoe yang membimbing Kedah muncul juara Piala Malaysia pada musim lalu.
Skuad negara akan membuka tirai 2018 dengan menentang Lubnan dalam aksi terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2019 pada bulan Mac, manakala kemuncaknya adalah beraksi di Piala AFF Suzuki – piala yang kali pertama dan terakhir dimenangi pada 2010.OLEH MUHD AIMAN