Penganjur Liga Super China (CSL) mengetatkan lagi kawalan pencegahan pandemik Covid 19 untuk memastikan tiada penularan atau jangkitan melibatkan pemain dan pegawai ketika saingan liga domestik negara itu bakal bermula pada Sabtu.

Tindakan susulan ini berikutan kes jangkitan Covid 19 yang berlaku di Dalian sekaligus mewujudkan situasi ‘cemas’ buat pengurusan CSL.

Laporan media tempatan, kesemua pihak yang terlibat dalam penganjuran CSL dipanggil untuk sesi mesyuarat tergempar pada Rabu lalu.

Dalian merupakan salah satu daripada venue (Stadium Pusat Sukan Dalian) bagi saingan CSL dan turut mempunyai kelab, Dalian Pro yang dikendalikan bekas pengurus Liverpool, Rafael Benitez dilaporkan dikawal sepenuhnya.

Malah, mana mana petugas yang menginap samada di hotel atau tinggal di kawasan tersebut perlu mematuhi peraturan ketat yang telah ditetapkan bagi mengawal penularan virus.

1870 individu yang terdiri daripada pemain, pegawai kejurulatihan dan petugas CSL telah menjalani ujian Covid 19 dan kesemua keputusan ujian adalah negatif.

Bagi musim 2020, 16 pasukan yang beraksi dalam saingan CSL dipecahkan kepada dua kumpulan dimana 8 pasukan akan beraksi di Dalian manakala 8 lagi pasukan akan ditempatkan di Suzhou.

Liga akan berlangsung tanpa kehadiran penonton bermula 25 Julai sehingga 28 September 2020.

Kesemua pemain dan pegawai pasukan diingatkan untuk tidak keluar daripada hotel penginapan jika tidak menjalani sesi latihan atau perlawanan dan jika didapati melanggar peraturan tersebut, individu terlibat akan disingkirkan.

 

- Advertisement -