Negara China memulakan kempen pemburuan pingat emas di Sukan Asia 2018 selepas meraih pingat emas pertama menerusi sukan Wushu.

Sun Peiyuan menyumbang emas pertama untuk negaranya menerusi acara Changquan lelaki dengan catatan tertinggi 9.75 mata.

Gerakannya yang mantap tanpa sebarang mata penalti memastikan juri memberikan mata terbaik buat Peiyuan sekaligus mengatasi dua pencabar dari Indonesia dan Taiwan yang meraih perak dan gangsa.

Kemenangan Sun Peiyuan sekaligus mengecewakan atlet tuan rumah, Marvelo Edgar Xavier yang hanya dibezakan 0.03 mata sekaligus berpuas hati dengan pingat perak manakala atlet Taiwan, Tsai Tsemin mengumpul 9.70 mata untuk meraih gangsa.

Dua atlet Malaysia turut mengambil bahagian, namun Yeap Wai Kin sekadar di kedudukan ke 8 dengan 9.63 mata manakala Wong Weng Son di tangga ke sembilan keseluruhan dengan 9.59 mata.

Manakala juara bagi acara ini empat tahun lalu di Incheon, Lee Ha Sung gagal mempertahankan pingat emasnya selepas sekadar di kedudukan ke 12.

17 atlet mengambil bahagian dalam acara Wushu Changquan lelaki hari ini.

 

 

- Advertisement -