Oleh Ku Mohd Lufti
Negara Tembok Besar, China terus menjadi penghalang buat Malaysia untuk merangkul trofi Kejohanan Remaja Dunia selepas kecundang 0-3 dalam perlawanan final.
Arena Bilbao di Sepanyol menyaksikan pertemuan dua seteru utama, Malaysia dan China di pentas final untuk merangkul gelaran 2016.
Bergu campuran, Cheng Tang Jie – M.Thinaah tewas 17-21, 21-13, 12-21 kepada gandingan He Jiting – Du Yue sekaligus memberikan mata pertama untuk China.
Juara bertahan ini meraih mata kedua dalam acara perseorangan lelaki menerusi Sun Feixiang yang mudah membenam cabaranwakil negara, Leong Jun Hao dengan kemenangan straight set 21-15, 21-13.
Perseorangan wanita, Chen Yufei menghadiahkan mata kemenangan kepada China dengan mengalahkan juara dunia remaja, Goh Jin Wei 22-20, 14-21 dan 21-8.
Kejayaan itu menyaksikan China menjuarai acara berpasukan sebanyak 11 kali selepas edisi 2000, 2002, 2004, 2007, 2008, 2009, 2010, 2012, 2014 dan 2015.
Untuk rekod, Malaysia melakar kejayaan pertama sebagai juara pasukan dalam kejohanan itu pada 2011 dengan mengalahkan Korea Selatan 3-0. Pada 2009, Malaysia muncul naib juara selepas kalah 3-0 kepada China di final.
Indonesia pula melengkapkan podium selaku pemenang tempat ketiga selepas mengalahkan Taiwan 3-1 pada perlawanan menentukan kedudukan tempat ketiga dan keempat.