Jaguh Badminton negara, Datuk Lee Chong Wei akui sedikit tertekan dengan persiapan menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow Scotland yang akan berlangsung pada 21-27 Ogos depan.
Pemain berusia 35 tahun itu berkata, “Tekanan itu sentiasa ada, tetapi ini semua normal bagi semua pemain negara dan kalau tidak tahan tekanan pasti susah untuk mencapai tahap permainan terbaik.
“Saya tahu YB KJ (Khairy Jamaluddin Abu Bakar) ada menyebut tentang hal (kejohanan dunia) ini, jadi saya akan sedaya upaya cuba melawan segala tekanan supaya dapat beraksi dengan cemerlang dan buat yang terbaik,” katanya ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka anjuran Majlis Olimpik Malaysia (MOM) di Arena Tan Sri Hamzah, Kompleks Sukan Tertutup MOM, Kuala Lumpur, hari ini (23 Julai).
Datuk Lee Chong Wei yang juga bekas pemain No. 1 dunia turut tidak menafikan kejohanan pada kali ini agak mencabar berikutan empat pemain China layak ke kejohanan tersebut.
“Untuk persiapan menghadapi pemain terutamanya dari China saya perlu betul-betul bersedia dan lebih fokus pada fizikal dan mental saya.
“Melalui perlawanan sebelum ini, saya belajar daripada kesilapan saya dan melaluinya saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mengendalikan tekanan semasa perlawanan nanti,” katanya lagi.
Datuk Lee Chong Wei turut mengambil inspirasi daripada kehebatan pemain Roger Federer yang berusia 35 tahun namun masih mampu bergelar juara di Australia sebelum ini.
“Oleh kerana umur saya 35 tahun ketika ini, kehebatan Roger Federer yang pernah bergelar juara menaikkan semangat dan memotivasikan diri saya untuk terus berjuang,” katanya.
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu turut menyatakan hasrat membantu Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memajukan Akademi Badminton Lee Chong Wei sekaligus melahirkan pemain yang berbakat.
Terdahulu, Datuk Lee Chong Wei pernah menyertai empat Kejohanan Dunia dan beliau hanya memperolehi tiga pingat perak dan satu pingat gangsa. – OLEH HUSNIYAH GHAZALI