dubai.world.superseries.finalsOleh Ku Mohd Lufti

Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menyatakan kesediaannya untuk beraksi di Kejohanan Super Series Akhir di Dubai selepas namanya sah antara lapan yang layak secara merit dalam acara perseorangan lelaki.

Meskipun tidak menyertai beberapa kejohanan Siri Super, Lee Chong Wei melihat ia bukan menjadi faktor prestasinya akan merudum.

Ditambah dengan kecederaan yang dilamai serta masalah kesihatan, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengesahkan kecederaannya sudah pulih.

“Hanya tinggal seminggu lebih sahaja sebelum ke Dubai, kesihatan saya semakin baik, kecederaan saya juga sudah pulih, sasaran saya ke sana adalah untuk menang untuk kali kelima, mana-mana pemain yang beraksi sudah pasti mahu menang,” kata Chong Wei.

Dalam misi memburu trofi kelima Super Series Akhir, beliau pastinya tidak akan memandang rendah mana mana pemain.

“Semua pemain yang tersenarai dalam lapan terbaik adalah pemain yang cemerlang tahun ini, saya tidak memandang rendah mana-mana pemain. Saya tidak mahu memikirkan siapa lawan saya, lebih baik fokus pada persediaan diri sendiri.” Katanya lagi.

Chong Wei layak ke saingan Siri Super Akhir secara merit selepas menduduki ranking ketujuh Siri Super yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Untuk rekod, Chong Wei muncul juara dalam kejohanan Siri Super Akhir sebanyak empat kali pada 2008, 2009, 2010 dan 2013.

Selain Chong Wei, tujuh lagi pemain perseorangan yang layak adalah Jan Jorgensen dan Viktor Axelsen dari Denmark, Son Wan Ho dari Korea Selatan, Tian Houwei dari negara China, Ng Ka Long dari Hong Kong dan pemain Jerman Marc Zwiebler, manakala seorang lagi pemain China, Chen Long layak atas tiket wild card kerana merupakan pemenang pingat emas sukan Olimpik.

Turut mewakili negara adalah bergu lelaki, Goh V Shem – Tan Wee Kiong yang menduduki tempat kedua.

- Advertisement -