Jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei jelas kurang senang dengan cara pemain perseorangan wanita negara, Goh Jin Wei dikerah menyertai banyak pertandingan sehingga menyebabkannya mengalami kecederaan berulang di buku lali.
Peluang Jin Wei membawa cabaran di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 kini dalam tanda tanya setelah mengalami kecederaan ketika beraksi di Kejohanan Remaja Asia di Jakarta minggu lalu.
Chong Wei berpendapat jadual pertandingan Jin Wei tidak diurus dengan baik sekaligus menjadi penyebab bekas juara dunia itu kerap mengalami kecederaan malah dia turut mempersoal mengapa Jin Wei perlu bermain di empat kejohanan berturut-turut sedangkan fokus utama adalah KL2017.
 “Cara dia ditangani adalah tidak betul, dia dihantar menyertai terlalu banyak pertandingan. Jin Wei adalah pemain yang berpotensi besar, tapi itu tidak bermakna dia kena sertai semua pertandingan.
“Sasaran buat Jin Wei adalah menyumbang emas di Sukan SEA, tapi kenapa dia dihantar bermain di Sukan Sekolah-Sekolah Asean dan Kejohanan Remaja Asia. Kejohanan peringkat sekolah atau remaja bukan standard dia, kelasnya lebih tinggi. Sepatutnya peluang diberi kepada pemain remaja lain.
“Lagipun dia masih dalam pemulihan. Dia bukannya robot, dia tidak boleh tangani tekanan yang terlalu tinggi. Sekarang dia cedera, siapa mahu bertanggungjawab? Siapa yang buat perancangan untuk dia? BAM akan kehilangan bakat-bakat berkualiti jika terus memberi tekanan kepada pemain muda tanpa perancangan teliti,” kata pemain nombor dua dunia itu.     Â
Untuk rekod, Jin Wei mengalami kecederaan buku lali ketika beraksi di Malaysia Masters di Sibu pada Januari lalu. Dia kembali beraksi selepas tiga bulan tersisih dan sejak itu mengharungi jadual yang begitu padat.
Dia mara ke final peringkat senior pertamanya di Terbuka Taiwan pada awal Julai, disusuli kejayaan memenangi gelaran perseorangan dan berpasukan wanita di Sukan Sekolah-Sekolah ASEAN.
Jin Wei kemudiannya membantu cabaran negara dalam acara berpasukan campuran di Kejohanan Remaja Asia di Jakarta namun terpaksa menarik diri sebelum aksi separuh akhir menentang Indonesia setelah kecederaannya kembali berulang. Dia tidak beraksi dalam kedua-dua perlawanan perseorangan dan beregu pada perlawanan yang menyaksikan Malaysia tewas 1-3.
Jika tidak kerana kecederaan, dia sepatutnya beraksi pula di Kejohanan Terbuka New Zealand di Auckland yang dijadual berlangsung dari 1-6 Ogos depan.
“Ianya bukan mudah untuk kerap kali bergelut dengan kecederaan, saya pernah alaminya. Pemain muda sepertinya kalau boleh mahu bermain dalam semua pertandingan, ini masanya untuk dia mengorak langkah tetapi kita perlu bijak menentukan pertandingan yang perlu dia sertai.
“Dia sepatutnya boleh habiskan lebih banyak masa menjalani latihan dan fokus pada KL 2017 serta Kejohanan Remaja Dunia. Kini, sebab perancangan tidak betul kita mungkin tidak dapat gunakannya untuk Sukan SEA, ia satu kerugian,” kata Chong Wei lagi.
Andai Jin Wei gagal pulih sepenuhnya menjelang temasya dwitahunan itu yang berbaki kira-kira 22 hari lagi untuk bermula, dia mungkin akan digantikan oleh seorang lagi pemain muda, S.Kisona yang mencuri tumpuan dengan menewaskan dua anggota skuad Sukan SEA iaitu Lim Yin Fun dan Lee Ying Ying dalam laluan menjuarai Siri Antarabangsa Malaysia di Putrajaya baru-baru ini. – OLEH MUHAMMAD AIMAN