Selepas menyaksikan sukan terjun dan berbasikal trek memiliki juara dunia, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut mengidamkan juara dunia pertama dari sukan tersebut.
Sandaran utama BAM sudah tentunya jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei yang akan memburu gelaran dunia sulungnya di Kejohanan Dunia Glasgow dari 21-27 Ogos depan. 
Bagaimanapun, Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berpendapat tidak adil untuk hanya meletakkan tekanan di bahu Chong Wei bagi menghadiahkan gelaran tersebut tatkala Malaysia turut mempunyai wakil dalam acara lain. 
“Memang Chong Wei adalah sandaran utama untuk realisasikan hasrat tersebut tetapi kita turut miliki Goh V Shem-Tan Wee Kiong (beregu lelaki) dan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing (beregu campuran). Bagi saya semua ada peluang sama rata.
“Kita tidak kisah siapapun, tidak semestinya Chong Wei tetapi saya harap kita mampu lahirkan juara dunia. Saya yakin salah seorang dari tiga wakil kita akan pulang dengan kejuaraan dunia. Sama-sama kita doakan pasukan negara di Glasgow nanti,” katanya. 
Terdahulu, Norza mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara pada Rabu.
Menurutnya lagi, persiapan pemain negara ke Glasgow berjalan lancar berdasarkan laporan yang diterima dari barisan kejurulatihan termasuk Ketua Jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek.
 
Dalam perkembangan lain, Norza turut menyatakan BAM bakal memperkenalkan prosedur operasi standard (sop) terhadap mana-mana pemain yang meninggalkan badan induk itu serta mencegah aktiviti mengatur perlawanan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -