Oleh Ku Mohd Lufti
Akademi Badminton Malaysia yang sudah beroperasi diharapkan menjadi penyuntik semangat buat pemain pemain negara untuk lebih cemerlang.
Fasiliti yang ada di akademi dilengkapi dengan kemudahan yang serba moden serta sama standardnya dengan kemudahan sukan di negara maju.
Jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang melontarkan cabaran kepada dirinya serta pemain lain untuk menggandakan usaha.
“Semua fasiliti di sini adalah yang terbaik, pusat latihan menepati keperluan pemain. Dulu di Taman Maluri, tidak cukup gelanggang tetapi di sini pemain tidak perlu berebut lagi.
“Akademi ini sudah mencukupi untuk semua pemain dan bagus untuk program pembangunan yang melibatkan pemain dari Sekolah Sukan Bukit Jalil juga,” kata Chong Wei.
Chong Wei yang kini berada dipenghujung kariernya sebagai pemain badminton perseorangan negara turut tidak mahu melepaskan peluang merasai sendiri pengalaman berlatih di Akademi Badminton Negara bersama sama pemain lain.
“Saya sangat gembira masih berpeluang merasai gelanggang baharu dengan fasiliti yang terbaik sebelum saya bersara. Saya percaya semua pemain dan jurulatih juga berpuas hati,” katanya.
Dalam pada itu, Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al Amin Abdul Majid menjelaskan nama akademi badminton ini masih belum diputuskan.
Ia perlu mendapat persetujuan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Perbadanan Stadium Malaysia.
Tambahnya lagi, untuk permulaan, hanya 18 gelanggang serta ruang pejabat sahaja yang akan digunakan setakat ini.
Akademi tujuh tingkat yang mempunyai kelengkapan seperti gelanggang badminton, gimnasium, auditorium, ruang serbaguna, pejabat, tempat letak kereta serta asrama, mula dibina pada 3 Mac 2014.
Venue latihan skuad badminton negara, Stadium Juara ditutup sementara bagi kerja penambahbaikkan untuk digunakan bagi Sukan SEA Kuala Lumpur pada Ogos ini.