Jaguh perseorangan, Datuk Lee Chong Wei mengetuai kemaraan pemain negara ke peringkat suku akhir acara individu badminton di Sukan Komanwel Gold Coast 2018.
Setelah kehilangan emas dari acara berpasukan campuran, tekanan cukup tinggi untuk skuad badminton negara untuk menepati sasaran tiga emas ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini namun Chong Wei dan rakan-rakan memastikan sasaran itu masih berpeluang untuk direalisasikan.
Di pusingan ketiga yang berlangsung pada Khamis, pemain nombor enam dunia itu mengetepikan Brian Kasirye 21-6, 21-6 dalam masa hanya 22 minit untuk menempah pertemuan menentang pemain Singapura Loh Kean Yew.
Pemain perseorangan wanita, Soniia Cheah pula menyingkirkan pemain Singapura, Grace Chua Hui Zhen 21-15, 21-16 dalam masa 30 minit dan akan berdepan pemain Kanada Michelle Li di suku akhir.
Dalam acara beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mara dengan menyingkirkan Sam Daniel-Emmanuel Donkor dari Ghana dengan keputusan 21-5, 21-5 dalam masa hanya 18 minit manakala Chan Peng Soon-Goh Soon Huat menewaskan gandingan England, Chris Adcock-Ben Lane 12-21, 21-13, 21-17.
Di suku akhir, V Shem-Wee Kiong akan menentang Alexander Dunn-Adam Hall dari Scotland manakala Penv Soon-Soon Huat akan menentang gandingan India, Satwik Rankireddy-Chirag Chandrashekar Shetty.
Dalam acara beregu wanita, gandingan Soniia-Shevon Lai menyingkirkan Sinead Chambers-Rachael Darragh (Irelans Utara) 21-19, 21-7 sementara gandingan Chow Mei Kuan-Vivian Hoo menewaskan Rachel Honderich-Kristen Tsai (Kanada) 21-17, 21-16.
Soniia-Shevon akan menentang Setyana Mapasa-Gronya Sommerville dari Australia di suku akhir manakala Mei Kuan-Vivian pula akan berdepan Chloe Birch-Jessica Pugh dari England.
Cabaran dalam kategori beregu campuran pula menyaksikan Peng Soon-Goh Liu Ying mara dengan menewaskan Dunn-Eleanor O’Donnel dari Australia dengan keputusan 21-9, 21-16 manakala Soon Huat-Shevon mengetepikan Donkor-Stella Koteika dari Ghana 21-3, 21-10.
Di suku akhir, Peng Soon-Liu Ying akan menentang Pranaav Chopra-Sikki Reddy dari India manakala Soon Huat-Shevon berdepan Rankireddy-Ashwini Ponnapa juga dari India. – OLEH MUHAMMAD AIMAN