Jaguh badminton tanah air, Dato’ Lee Chong Wei mengenggam kejuaraan pertama dalam tempoh lapan bulan setelah menjuarai kejohanan Terbuka Hong Kong di Kowloon, pada Ahad.
Kali terakhir pemain berusia 35 tahun itu bergelar juara adalah Mac lalu ketika memenangi kejohanan All England. Lebih manis, Chong Wei bergelar juara kali ini dengan menewaskan jagoan China, Chen Long yang mengecewakannya di perlawanan akhir Sukan Olimpik Rio De Janeiro, September tahun lalu.
Chong Wei yang menewaskan pemain nombor dua dunia, Son Wan Ho dan pemain muda China, Shi Yuqi dalam laluan ke final, tampil dengan keyakinan tinggi untuk meneruskan pemulihan prestasinya selepas tiga kali berturut-turut tersingkir awal sebelum ini di Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka China.
Chen Long yang dikerah bermain 90 minit oleh pemain Denmark, Anders Astonsen di separuh akhir nyata dihimpit kepenatan dan tewas mudah set pertama 14-21. Dia cuba bangkit di set kedua dan mendahului jauh 12-6, 15-10 pada satu ketika.
Begitupun Chong Wei tampil tenang dan membuktikan sentuhannya belum lagi berkarat dengan mempamer karakter sang juara untuk memastikan kemenangan 21-19 di set kedua sekaligus menjuarai Terbuka Hong Kong buat kali kelima setelah melakukannya pada 2009, 2010, 2013 dan 2015. OLEH MUHD AIMAN