Oleh Ku Mohd Lufti
Pemain perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei kekal ditangga ketiga dunia dalam ranking pemain perseorangan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Badminton Dunia, BWF pada 24 Mac.
Datuk lee Chong wei mengumpul 77 153 mata selepas mengharungi 13 kejohanan , ketinggalan lebih dua ribu mata dibelakang pemain China yang menghuni ranking kedua dunia, Lin Dan.
Pemain nombor satu dunia masih kekal milik Chen Long yang kini mengumpul 92 351 mata.
Selain Datuk Lee Chong Wei, tiga lagi pemain negara berada di kedudukan 50 pemain terbaik, Zulfadli Zulkifli yang berada di kedudukan ke 40 dunia diikuti Iskandar Zulkarnain Zainuddin di kedudukan ke 41, manakala Chong Wei Feng menghuni tangga ke 45 dunia.
Dalam kategori bergu lelaki, dua wakil negara turun satu anak tangga.
Goh V shem, Tan Wee Kiong turun ke tangga ke 14 dunia manakala Koo Kien Keat, Tan Boon Heong kini menghuni tangga ke 16 dunia.
Pasangan dari Korea Selatan, Yoo Yeon Seong , Lee Yong Dae mengekalkan kedudukan selaku bergu nombor satu dunia diikuti Hendra Setiawan, Mohammad Ahsan dari Indonesia yang berada di kedudukan kedua dunia.
Pemain pemain terbaik dunia ini akan berkampung di Shah Alam bermula 5 hingga 10 April untuk beraksi di Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia 2016 yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan 550 000 Dolar Amerika Syarikat.