Oleh Ku Mohd Lufti
Kemuncak saingan kejohanan badminton All England semakin hampir sampai ke penghujungnya menyaksikan pemain utama yang masih kekal untuk ke suku akhir tatkala ada juga yang tersingkir.
Dalam saingan perseorangan lelaki, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas melakar kemenangan ke atas pemain Taiwan, Wang Tzu Wei 21-18, 21-18.
Cabaran Chong Wei untuk ke separuh akhir bakal diberikan pemain China yang diletak selaku pilihan ketujuh, Tian Houwei yang menjinakkan wakil India H. S Prannoy straight set 21-13, 21-5.
Namun kejutan berlaku ke atas pemain pilihan kelima dari China, Chen Long apabila ditujukkan jalan keluar oleh wakil Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk dengan keputusan straight set 21-16, 21-19.
Dalam aksi bergu lelaki, Goh V Shem/Tan Wee Kiong turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas menyingkirkan pasangan China Liu Xiaolong/Xu Chen dengan kemenangan straight set 21-12, 21-16 dalam masa 28 minit.
V Shem dan Wee Kiong yang dilabel selaku gandingan nombor satu dunia ini akan berdepan satu lagi pasangan China, Li Junhui/Liu Yu Chen yang dilabel selaku pilihan keenam.
Wakil tunggal dalam acara bergu campuran, Chan Peng Soon/Goh Liu Ying menjadi wakil terakhir untuk Malaysia yang meneruskan kemaraan di All England.
Berdepan Zhang Nan/Li Yinhui dari China, Peng Soon dan Liu Ying dipaksa bekerja keras bermain tiga set sebelum mengesahkan kemenangan 9-21, 23-21, 21-17.
Pasangan negara ini dijadual berdepan satu lagi wakil China dari pusingan kelayakan Wang Yilyu/Huang Dongping yang mengejutkan pilihan utama dan juga rakan senegara Zheng Siweng/Chen Qingchen 24-22, 21-15.
Satu lagi wakil bergu campuran negara Tan Kian Meng/Lai Pei Jing gagal ke suku akhir apabila tewas kepada gandingan baharu dari Korea Selatan Yoo Yeon Seong/Kim Ha Na 15-21, 9-21.
Gandingan bergu wanita juga gagal menyerlah, Vivian Hoo Kah Mun /Woon Khe Wei tewas dalam pertarungan tiga set ke atas pasangan Korea Selatan Jung Kyung Eun/Shin Seung Chan 21-17, 12-21, 17-21.