Oleh Ku Mohd Lufti
Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei menepati ramalan mengesahkan slot ke pusingan final Terbuka Jepun selepas menundukkan pemain kelahiran Jerman, Marc Zwibler.
Chong Wei yang memburu gelaran keenam dalam kejohanan Terbuka Jepun menutup aksi separuh akhir di Gimnasium Metropolitan , Tokyo dengan kemenangan straight set 21-14, 21-15.
Tuga sgetir menanti Chong Wei di pentas final esok apabila dijadual bertemu pemain dari Denmark, Jan O Jorgensen.
Pemain perseorangan Denmark ini terlebih dahulu menundukkan pemain Korea Selatan, Son Wah Ho dengan keputusan straight set 21-14, 21-19.
Untuk rekod, Chong Wei telah menjuarai Terbuka Jepun sebanyak lima kali sebelum ini iaitu pada 2007, 2010, 2012, 2013 dan 2014.
Impian untuk melihat satu lagi wakil negara dipentas final tidak kesampaian apabila bergu campuran, Chan Peng Soon – Goh Liu Ying terkandas di separuh akhir.
Peng Soon dan Liu Ying akur tumpas kepada pilihan pertama kejohanan Ko Sung Hyun – Kim Ha Na dari Korea Selatan dengam keputusan straight set 21-14, 21-18.
Gandingan Korea itu akan menentang pasangan pilihan ketujuh dari China, Zheng Siwei – Chen Qingchen yang menang ke atas rakan senagara yang juga pilihan keenam, Lu Kai – Huang Yaqiong 21-11, 21-19.