Kepenatan beraksi di tiga kejohanan antarabangsa belum hilang, namun itu tidak menghalang jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei untuk tampil dengan kelas tersendiri menewaskan bintang muda Jepun, Kento Momota dan menghadiahkan kemenangan kedua minggu ini buat Petaling Jaya BC dalam saingan Purple League yang berlangsung di Sports Arena@ Sentosa.
Chong Wei yang mengambil keputusan tidak beraksi di Terbuka Macau minggu ini dek faktor kepenatan selepas kemenangan di Terbuka Hong Kong minggu lalu – kejuaraan ketiga miliknya dalam tempoh sebulan selepas menjuarai Siri Super Terbuka Perancis dan China – tidak langsung tergugat prestasinya di sebalik berdepan aksi energetik dari pemain ranking kelima dunia itu.
Petaling Jaya menuju ke perlawanan terakhir dengan membawa kelebihan 10-8 ke atas Ampang Jaya, dan memerlukan Chong Wei untuk menang dan pemain berusia 33 tahun itu tidak langsung mengecewakan apabila mengetepikan tentangan sengit Momota dengan keputusan 3-1 (11-9, 11-10, 6-11, 11-7).
“Bagi saya ia tetap perlawanan yang sukar kerana Momota cuba untuk bangkit. Dia pemain bagus dan telah banyak meningkat. Saya cuba sedaya upaya tidak guna banyak tenaga kerana telah beraksi di tiga kejohanan dan mengambil keputusan berehat sehingga akhir tahun dari sebarang kejohanan antarabangsa.
“Purple League bagi saya bagus sebagai pemanas badan, kerana walaupun berehat saya tetap perlu jaga kecergasan dalam masa sama pemain juga dapat merasa untuk berada dalam satu pertandingan kompetitif,” ujar Chong Wei yang kini berada di ranking ketiga dunia.
Terdahulu, Petaling Jaya BC bermula dengan sentuhan kecundang selepas Muhammad Hafiz Hashim tewas 2-3 kepada bekas bintang Singapura, Ronald Susilo.
Petaling Jaya bagaimanapun merebut pendahuluan 6-3 selepas pemain perseorangan wanita, Cheung Ngan Yi tidak berdepan masalah mencatat kemenangan 3-0 ke atas Desiree Siow.
Ampang Jaya tidak menyerah dengan mudah dan berjaya mengikat kedudukan 5-5 pada satu ketika menerusi beregu campuran Kuan Kam Chung/Shevon Lai, tetapi mereka kemudiannya melepaskan dua set kepada Vountus Indramawan/Woon Khe Wei sebelum mencatat kemenangan 3-2 membolehkan Petaling Jaya mendahului tipis 7-6.
Koo Kien Keat/Sonphong Anugritayawon mengukuhkan pendahuluan buat Petaling Jaya hasil kemenangan 3-2 dalam acara beregu lelaki, sebelum Chong Wei mengesahkan kemenangan 13-9 untuk mereka.