Jaguh badminton negara, Dato’ Lee Chong Wei akan turun beraksi membawa cabaran Petaling Jaya BC pada perlawanan menentang Petaling BC dalam saingan Resorts World Genting Purple League 2015 di Arena Sports@Sentosa, esok (Khamis).
Kehadiran Chong Wei esok, dilihat memberi kekuatan tambahan kepada Petaling Jaya yang mencari kemenangan untuk terus mengukuhkan kedudukan di kelompok pasukan pencabar kejuaraan tatkala saingan di kelompok empat teratas dilihat semakin sengit.
Chong Wei sebelum ini membuat penampilan sulungnya di Purple League ketika Petaling Jaya menewaskan Ampang Jaya hujung bulan lalu. Pada perlawanan itu, Chong Wei cemerlang menewaskan pemain Jepun, Kento Momota 3-1.
Lawan yang dijadual bertemu Chong Wei esok, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang baru sahaja muncul juara Grand Prix Kebangsaan Ahad lalu dengan menewaskan Chong Yee Han.