Malaysia telah mempunyai empat juara dunia dalam tempoh empat bulan yang lalu – bermula dengan Azizulhasni Awang (berbasikal), disusuli Ziyad Zolkefli dan Abdul Latiff Romly (paralimpik) serta terbaru Cheong Jun Hoong (terjun).
Senarai itu mungkin akan terus bertambah bulan depan tatkala giliran jaguh badminton, Dato’ Lee Chong Wei pula memasang tekad mahu memahat namanya dalam sejarah badminton dunia apabila turun beraksi di Kejohanan Badminton Dunia Glasgow, bulan depan.
Kejuaraan dunia adalah satu daripada kejohanan besar utama yang belum pernah digenggam Chong Wei dalam sejarah gemilang kariernya di mana dia pernah muncul naib juara tiga kali berturut-turut pada 2011 (London), 2013 (Guangzhou) dan 2015 (Jakarta) selain menduduki tempat ketiga pada 2005 (California).
Tekanan juga semakin menghimpit tatkala penampilan kesepuluhnya tahun ini hampir pasti menjadi penampilan terakhirnya di Kejohanan Dunia, namun Chong Wei bersedia menyahut cabaran dan mengetepikan segala tekanan bagi menghapuskan badi tersebut.
“Tekanan sentiasa ada, tetapi ianya bagus untuk mempunyai tekanan, kerana jika seorang atlet tidak boleh menangani tekanan mustahil untuknya menjadi seorang pemain bertaraf dunia. Menang atau kalah, apa yang lebih penting adalah bagaimana menangani tekanan dan melawan sehingga ke kudrat terakhir.
“Latihan yang cukup adalah kunci utama. Saya masih ada tiga minggu untuk melakukan persiapan dan perlu persiapkan diri sebaiknya. Perlu diakui cabaran kali ini mungkin lebih sukar kerana China mempunyai empat pemain jadi saya perlu berada dalam keadaan fizikal dan mental yang baik,” ujar pemain nombor dua dunia itu.
Chong Wei bercakap kepada pemberita setelah pelancaran Akademi Badminton Lee Chong Wei di Ipoh, Perak pada Ahad yang disempurnakan oleh Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Norza Zakaria. Majlis itu turut dihadiri ketua jurulatih perseorangan, Datuk Misbun Sidek serta beberapa lagenda badminton yang lain.
Pemain berusia 34 tahun itu turut menyatakan hasrat bahawa dia bercadang membuka dua lagi Akademi LCW masing-masing di Kuala Lumpur dan Johor. – OLEH MUHAMMAD AIMAN