Oleh Muhammad Aiman
Sandaran emas negara, Dato’ Lee Chong Wei melengkapkan aksi ‘pemanas badan’ di Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016, dengan menjinakkan pemain Singapura Derek Wong 21-18, 21-8 dan menepati ramalan melangkah ke suku akhir sebagai juara Kumpulan A.
Chong Wei sememangnya tidak perlu berada pada tahap prestasi terbaik untuk melakar kemenangan ke atas Derek, yang dilihat tidak langsung berupaya menghampiri kelas dimiliki pemain nombor satu dunia itu yang tangkas menguasai segenap penjuru gelanggang.
Hanya pada set pertama, Derek dilihat cuba memberi tentangan dengan menggagalkan Chong Wei empat kali di mata penamat – itupun kerana aksi bersahaja Chong Wei yang seolah mahu mengajak Derek memberi saingan lebih sengit – namun tempo permainan pantas serta lebih garang ditonjolkan Chong Wei di set kedua gagal disaingi pemain di ranking ke-55 dunia itu.
Ia adalah kemenangan kedua buat Chong Wei setelah membenam Soren Opti dari Surinam pada perlawanan pertama Khamis lalu, dan selaku juara Kumpulan A dia mendapat bye di pusingan kedua.
Setelah dua aksi ‘pemanas badan’ yang ditempuh dengan bersahaja, cabaran sebenar dalam misi memburu emas akan bermula di suku akhir buat Chong Wei, di mana dia akan berdepan sama ada Chou Tien Chen dari Taiwan atau Hu Yun dari Hong Kong yang terlebih dahulu akan berentap di pusingan kedua.