rio.olym

Oleh Muhammad Aiman

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak bersedia mengambil sebarang risiko ke atas Dato’ Lee Chong Wei apabila memilih untuk tidak menyenaraikan pemain nombor satu dunia itu beraksi di Kejohanan Terbuka Taiwan yang akan berlangsung dari 28 Jun – 3 Julai depan.

Keputusan itu bagaimanapun sudah diduga memandangkan Chong Wei masih lagi belum pulih sepenuhnya dari kecederaan kaki kiri yang dialaminya dalam laluan menjuarai Terbuka Indonesia pada awal bulan ini malah terpaksa menarik diri dari menyertai Terbuka Australia dua minggu lalu.

Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost berkata pada ketika Sukan Olimpik Rio De Janeiro tinggal lebih kurang lima minggu sahaja lagi untuk bermula, ianya lebih penting untuk pemain berusia 33 tahun itu fokus terhadap pemulihan kecergasan serta persiapan beraksi di Rio.

“Kita tidak menyenaraikannya kerana tidak begitu pasti adakah dia bersedia untuk bermain selepas kecederaan dialami tempoh hari. Dia sudah kembali mengikuti program latihan kita dan ia sudah tentunya satu petanda baik. Kita sedang mengharungi persiapan ke Olimpik dalam persekitaran tenang dan ia jelas membantu persediaan mental Chong Wei,” katanya.

Dengan ketiadaan Chong Wei, cabaran negara akan diketuai oleh pemain di ranking ke-32 dunia, Iskandar Zulkarnain Zainuddin yang akan turut disertai enam lagi pemain perseorangan lelaki dalam undian utama iaitu Goh Soon Huat, Chong Wei Feng, Daren Liew, Goh Giap Chin, Tan Chung Seang dan Md Arif Abd Latif.

Iskandar, pemain ranking ke-32 dunia merupakan pilihan ke-13 kejohanan dan dia diundi berdepan pilihan utama yang juga pemain nombor dua dunia dari China, Chen Long di pusingan ketiga.

Bagi acara beregu lelaki, cabaran negara akan diketuai oleh beregu olimpik, Goh V Shem/Tan Wee Kiong yang dijadual berdepan gandingan tuan rumah Lin Chia Yu/Wu Hsiao Lin di pusingan pertama.

Dua lagi beregu lelaki yang turut berada dalam undian utama adalah Ong Yew Sin/Teo Ee Yi dan Hoon Thien How/Teo Kok Siang.

Pemain Malaysia yang akan membawa cabaran di Terbuka Taiwan adalah Tee Jing Yi dan Ho Yen Mei bagi acara perseorangan wanita, Vivian Ho/Woon Khe Wei serta Chow Mei Kuan/Lee Meng Yean bagi acara beregu wanita selain Chan Peng Soon/Goh Liu Ying, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing dalam acara beregu campuran.

- Advertisement -