Prestasi jaguh badminton negara, Datoâ Lee Chong Wei jelas sudah dimamah usia. Staminanya tidak lagi berupaya menandingi permainan pantas pemain-pemain muda namun determinasinya dan aspirasinya tidak sedikitpun luntur.
Itulah yang dibuktikan pemenang tiga pingat perak Sukan Olimpik itu ketika mara ke final Terbuka Jepun pada bulan lalu hanya sebulan selepas dikejutkan dengan kekalahan seawal pusingan pertama di Kejohanan Dunia Glasgow.
Chong Wei yang akan menyambut kelahiran ke-35 pada 21 Oktober nanti, bertandang ke Glasgow dengan harapan besar mahu menjulang gelaran dunia pertamanya namun sebaliknya mengalami igauan buruk tewas kepada pemain bukan pilihan dari Perancis, Brice Leverdez.
Begitupun, pemain nombor tujuh dunia itu kembali dalam landasan yang sepatutnya apabila menyerlah di Terbuka Jepun dan melangkah ke final dengan mengetepikan pemain-pemain pilihan seperti Chou Tien Chen dari Taiwan dan Shi Yuqi dari China sebelum tewas kepada juara dunia, Victor Axelsen dari Denmark.
âMelangkah ke final di Jepun adalah sesuatu yang cukup bagus untuk saya, ia banyak membantu meningkatkan semula motivasi dan keyakinan saya setelah apa yang terjadi di Kejohanan Dunia. Ini menunjukkan saya sudah bangkit dari mimpi ngeri tersebut,â ujar bekas pemain nombor satu dunia itu.
Cabaran seterusnya buat Chong Wei adalah Terbuka Denmark di Odense yang akan berlangsung dari 17 â 22 Oktober ini di mana dia dijadual membuka cabaran dengan berdepan pemain Sepanyol Pablo Abian di pusingan pertama.
âSaya belum melihat lagi laluan saya di kejohanan itu tetapi saya jangkakan satu lagi kejohanan yang sukar. Lagipun saya tidak mahu memikirkan siapa yang akan saya jumpa di pusingan kedua, suku akhir dan sebagainya. Apa yang penting saya perlu membina semula keyakinan diri dan hanya fokus pada perlawanan setiap pusingan,â jelasnya.
Di atas kertas, Chong Wei yang pernah menjuarai Terbuka Denmark pada 2005 dan 2012 dijangka berdepan Son Wan Ho dari Korea Selatan di suku akhir dan sekiranya mara, Chen Long atau Shi Yuqi menantinya di separuh akhir. – OLEH MUHAMMAD AIMAN