Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mahu 13 pemain pemain terbaik dalam ranking remaja kebangsaan memberikan aksi yang terbaik di 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir yang akan nermula esok.
Bagi Choong Hann, inilah masa yang sesuai untuk membuktikan mereka bersedia untuk melangkah masuk ke dalam kumpulan elit skuad badminton negara.
“Sudah tentu acara ini akan memberi peluang kepada pemain untuk menambahkan ilmu dari segi kemahiran, kebijaksanaan dan taktikal yang boleh dicontohi.
“Menerusi pertandingan ini, kita (jurulatih) boleh menilai mana mana potensi pemain remaja yang diserap ke dalam pasukan senior dengan lebih telus,”kata Choong Hann.
Namun, beliau juga mengingatkan pemain pemain senior yang beraksi kelak untuk memberikan 100 peratus dan mempamerkan permainan yang terbaik terutama mengendalikan tekanan.
Meskipun bermain dengan pemain pemain remaja, pertandingan ini juga menjadi platform untuk mereka menilai kekurangan dan prestasi semasa selain ketiadaan pertandingan kompetitif ketika ini susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi membendung penularan Covid 19.
Ini kerana barisan pemain remaja pimpinan Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia Datuk Misbun Sidek yang turun beraksi merupakan daripada dikalangan yang terbaik dan pastinya mahu mencari keputusan yang positif selepas lebih lima bulan berkampung di ABM menjalani latihan harian.
“Apabila persaingan menjadi sengit, sudah tentu tekanan untuk menang semakin tinggi. Adakah mereka mampu untuk beraksi secara 100 peratus?Inilah yang mahu kita nilai bagaimana mereka mengendalikan tekanan,”katanya lagi.
100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan Peringkat Akhir bermula dari 18 hingga 21 November dan akan berlangsung di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara melibatkan saingan perseorangan dan bergu kategori lelaki serta perempuan.
13 pemain remaja yang terpilih terdiri daripada pemain yang beraksi ketika saingan Peringkat Kumpulan 100PLUS Cabaran Ranking Remaja Kebangsaan 2020 yang berlangsung di Stadium Juara Bukit Kiara pada 12 hingga 16 Oktober lalu.
Mereka terdiri daripada; tiga perseorangan terbaik lelaki kumpulan A iaitu Justin Hoh, Jacky Kok Jing Hong dan Ong Ken Yon manakala dua pemain terbaik kumpulan A bagi perseorangan perempuan, Myisha Mohd Khairul dan Tan Zhing Yi adalah serta dua gandingan bergu lelaki, Wan Arif Junaidi dan Muhd Haikal Nazri serta Beh Chun Meng dan Goh Boon Zhe.
Dua bergu perempuan pula adalah Cheng Su Yin dan Goh Pei Kee serta pasangan Low Yeen Yuan dan Valerie Siow.
Pemain simpanan yang beraksi pula adalah Lee Shun Yang, Ter Chun Long dan Wyman Goh manakala Eoon Qi Xuan dan K Letshaana akan beraksi dalam saingan perseorangan perempuan.
Choong Hon Jian-Nur Firdaus Azman dan Lwi Sheng Hao-Yap Roy King akan beraksi dalam saingan bergu lelaki sementara Pearly Tan-Toh Ee Wei serta Yap Ling dan Teoh Mei Xing akan beraksi dalam kategori bergu perempuan.