Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Wong Choong Hann berpuas hati dengan kesemua pemain yang beraksi di Kejohanan Berpasukan Campuran BAM.
Matlamat yang mahu dilihat oleh Choong Hann adalah kekuatan pemain untuk mengawal tekanan dan emosi ketika digelanggang.
Meskipun pertandingan hanya berbentuk simulasi, namun beliau dapat melihat sendiri bagaimana pemain pemain senior mahu pun remaja merasai tekanan seolah olah ia merupakan pertandingan yang sebenar.
“Saya rasa ia telah membawa banyak manfaat dan lebih daripada apa yang kita jangka terutama semangat berpasukan yang cukup hebat walaupun ada pemain senior dan remaja tetapi mereka bersatu hati untuk menyumbang mata.
“Melalui kejohanan berpasukan campuran ini, kita nampak pemainsenior terutamanya merasakan tekanan untuk mencapai matlamat dan platform ini kita guna untuk uji faktor tekanan dan bagaimana pemain mengendalikan emosi ketika dalam tahap tekanan yang tinggi .
“Apabila memikul tanggungjawab bukan sahaja kepada diri sendiri, rakan sepasukan tetapi juga kepada pemain remaja yang sentiasa mengikuti mereka,”kata Choong Hann.
Barisan kejurulatihan juga tidak ketinggalan dimana mereka memanfaatkan ruang ini untuk memantau serta menambahbaik program latihan berdasarkan perkembangan semasa pemain pemain.
“Sesuatu yang baharu juga untuk jurulatih yang perlu memastikan emosi pemain pemain tidak terjejas kerana ketiadaan pertandingan dan hanya menjalani rutin harian yang sama setiap hari,”kata Choong Hann lagi.
BAM mengambil inisiatif menganjurkan pertandingan simulasi selepas program kem Road To Tokyo (RTT) melibatkan pemain pemain senior yang menjalani latihan secara kuarantin dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Bermula dengan kejohanan jemputan yang dilangsung pada Julai termasuklah cabaran ranking untuk pemain remaja kebangsaan dan kejohanan berpasukan campuran, BAM dan barisan kejurulatihan merangka pertandingan simulasi ini dengan matlamat memberikan suasana pertandingan kepada pemain dikala negara sedang berdepan pandemic Covid 19.
Pemain pemain senior diberi pelepasan berehat selama seminggu bermula Sabtu dan akan melaporkan diri pada 5 Disember depan bagi memberi fokus sepenuhnya terhadap persiapan menjelang kejohanan yang dijadual berlangsung pada Januari 2021.