Seladang yang dinamakan Chor menjadi maskot Sukan Malaysia (Sukma) Ke-19 Perak 2018 Wow! Kita Hebat yang akan berlangsung di negeri ini, pada September depan.
Seladang dipilih sebagai maskot Sukma ke-19 kerana ia merupakan haiwan legenda yang terkenal di negeri ini.
Selain pelancaran maskot, logo dan lagu tema Sukma ke-19, turut dilancarkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir pada majlis gilang gemilang di Bulatan Amanjaya, Meru di sini, malam ini.
Lagu tema ‘Wow! Kita The Greatest’ dihasilkan oleh komposer terkenal tanah air Datuk Wah Idris yang merupakan pencipta lagu ‘Standing In The Eyes Of The World’ pada Sukan Komanwel 1998.
Sementara itu, logo Sukma ke-19 menggabungkan simbol manusia yang mewakili semangat juang para atlet selain simbol gelombang air yang melambangkan Sungai Perak sebagai sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia.
Zambry dalam ucapannya berkata 11,000 atlet dan pegawai daripada 14 kontinjen seluruh negara akan menyertai temasya dwitahunan itu yang akan berlangsung dari 12 hingga 22 Sept.
Katanya Sukma merupakan satu temasya yang dapat mempertingkatkan mutu sukan serta daya saing atlet di peringkat negeri dan kebangsaan.
“Di samping itu, ia dapat menggalakkan negeri-negeri untuk menyediakan kemudahan prasarana sukan bertaraf antarabangsa untuk atlet demi kecemerlangan masing-masing.
Temasya ini juga dilibat sebagai agenda terbaik dalam memupuk semangat integrasi nasional dalam kalangan atlet dan masyarakat pelbagai kaum di negara ini,” kata Zambry.
Selari dengan konsep ‘Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir’, Zambry berkata kerajaan negeri melakar sejarah dengan melibatkan semua 12 daerah di seluruh negeri sebagai venue pertandingan untuk acara tertentu.
Katanya sebanyak 26 jenis sukan merangkumi 369 acara bakal dipertandingkan dalam temasya ini yang kali kedua dilangsungkan di Perak selepas kali pertama pada tahun 1994 semasa edisi kelima.
Zambry turut menyeru sokongan serta kerjasama semua pihak agar Perak dapat meraih kejayaan sebagai penganjur terbaik pada temasya kali ini
Selain itu, katanya seramai 3,000 sukarelawan dalam kalangan rakyat di negeri ini dijangka akan terlibat secara langsung dalam temasya dwitahunan itu.
“Keterlibatan seramai mungkin adalah amat penting sebagai strategi untuk menjadikan Sukma kali ini sebagai yang paling tular di media sosial sepanjang penganjurannya,” katanya.
Zambry turut berharap atlet yang mewakili Perak pada kali ini akan berjuang bersungguh-sungguh bagi memastikan sasaran sebagai juara keseluruhan dapat direalisasikan. –BERNAMA