Kelab Badminton Muar City melangkah ke separuh akhir Cabaran Juara-Juara Resorts World Genting 2015, terima kasih kepada bekas pemain kebangsaan Tan Chung Seang yang menghadiahkan mata getir untuk menewaskan Kelab Badminton Serdang dalam aksi yang berlangsung di Arena of Stars.
Impian Muar City untuk merangkul kejuaraan berganda – setelah mempertahankan kejuaraan Purple League – dilihat berada dalam bahaya apabila Serdang tampil dengan perwatakan berbeza untuk memberi tentangan sengit dalam misi mencipta kejutan ke atas naib juara musim lalu itu.
Serdang begitu hampir untuk melakukannya apabila merebut pendahuluan 6-5 selepas Pei Tianyi/Wu QianQian mengejutkan pasangan beregu campuran berpengalaman Han Sang Hun/Lee Hyo Jung.
Namun Chung Seang yang beraksi lesu dalam kekalahan kepada Darren Liew Ahad lalu, mengetepikan tekanan hebat pada aksi terakhir untuk menang 3-1 (11-8, 9-11, 11-5, 11-10) ke atas Lee Zii Jia dan memastikan kemenangan 11-8 buat Muar City.
“Set keempat terutamanya cukup mendebarkan. Dia (Zii Jia) mempunyai tiga mata penamat dan banyak beri tekanan. Saya cuba bermain tenang kerana saya tahu dia juga tertekan dan lemah ketika bertahan, dan ambil kesempatan atas kesilapan dia,” ujar Chung Seang yang turut mengakui kekalahan kepada Darren tempoh hari membantunya untuk mengawal pergerakan bulu tangkis dengan lebih baik.
Terdahulu, bintang veteran Korea yang juga pemain ke-12 dunia, Lee Hyun Il memacu Muar City untuk permulaan garang apabila mudah menjinakkan Xie Binyu 3-0, tetapi Serdang kembali mengikat kedudukan menjadi 3-3 setelah Xu Wei menundukkan Rusydina Antardaya 3-1 dalam acara perseorangan wanita.
Kejutan terbesar hadir dalam acara beregu campuran apabila gandingan bekas pemain beregu wanita nombor satu dunia Lee Hyo Jung dan Han Sang Hun tunduk 1-3 di tangan Tianyi dan QianQian sebelum beregu lelaki Chow pak Chu/Tan Bin Shen kembali meletakkan Muar City mendahului tipis 8-7.
Pengurus pasukan Muar City, Huan Woon Han berkata, “Kita agak kecewa dengan persembahan pemain beregu campuran. Tetapi pasangan beregu Serdang memberi tekanan yang hebat kepada mereka. Saya tidak jangka keputusan ini, ia cukup mengejutkan tetapi keseluruhannya ia perlawanan yang menarik.
“Ketika Chung Seang beraksi, saya agak risau juga kerana dia tewas teruk di tangan Darren sebelum ini, dan sukar untuk kawal emosinya. Malah ketika set keempat, saya jangka ia akan berlanjutan ke set kelima tetapi Chung Seang lakukan dengan baik untuk bangkit dari ketinggalan 7-10 untuk menang 11-10.”
Muar City akan berdepan pemenang di antara Kelab Badminton Cheras dan Kelab Badminton Ampang Jaya.
Sementara itu, jurulatih Serdang Ong Ewe Hock, berpendapat faktor pemisah utama antara kedua-dua pasukan adalah pengalaman dan menyifatkan barisan pemainnya telah mendapat pengalaman cukup berharga walaupun tewas.
“Saya gembira, walaupun dalam liga kita nombor lapan, dan turun sebagai bukan pilihan tetapi kita beri tentangan yang hebat dan ada peluang sebenarnya untuk menang. Apabila detik penentuan tiba ke perlawanan terakhir, memang ia satu tekanan yang hebat ke dan Chung Seang guna pengalamannya dengan baik.
“Kita terlepas peluang untuk menang kerana kurang pengalaman, tetapi untuk pemain muda seperti Zii Jia, ia satu pengalaman yang baik. Saya jangka dia akan tewas teruk tetapi dia beri tekanan hebat kepada Chung Seang dan tewas pada mata terakhir.”