Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing meneruskan dominasi musim 2018 dengan satu lagi keputusan satu-dua melalui gandingan Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman pada Pusingan 5 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Teluk Intan, Perak, hari ini.
Litar sepanjang 1.305km di Teluk Intan itu jelas begitu sesuai dengan gaya penunggangan Ahmad Afif yang mantap.
Bermula dari petak pertama setelah menguasai sesi SuperPole, Afif langsung tidak digugat oleh mana-mana pesaing sepanjang 20 pusingan perlumbaan. Pelumba dari Terengganu itu berjaya memperoleh kemenangan ketiga musim ini dengan catatan masa 17’15.623s.
Rakan sepasukan, Mohd Hafiz berjaya menaiki podium di tempat kedua dengan masa 17’22.237s. diikuti pemenang tempat ketiga, Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dengan catatan masa 17’24.225s.
Sementara pasukan CKJ meraikan kejayaan 1-2 yang kedua musim ini, pasukan yang digeruni ramai, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pula bergelut dengan pusingan paling mencabar musim ini.
Keputusan terbaik bagi pasukan itu diperoleh menerusi Mohd Ramdan Rosli yang menamatkan perlumbaan di tempat ke-6, di belakang Rozaiman Said dan Helmi Azman.
Kerosakan mekanikal menyebabkan Mohd Akid Aziz terpaksa menamatkan perlumbaan seawal pusingan pertama sementara Kasma Daniel Kasmayuddin juga terjatuh di selekoh pertama pada pusingan permulaan.
“Jentera pasukan kami begitu mantap musim ini. Ianya merupakan hasil titik peluh dan usaha gigih kru kejuruteraan pasukan kami. Di sini, saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih,” kata Afif.
“Saya begitu yakin dengan jentera yang telah kami hasilkan bersama dan ketika dalam perlumbaan, saya hanya menumpukan sepenuh perhatian untuk mengekalkan rentak perlumbaan tanpa menghiraukan apa yang berlaku di belakang.”
Afif, yang telah menaiki podium sebanyak lima kali berturut-turut musim ini mengukuhkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dengan 115 mata.
Mohd Hafiz naik ke tangga kedua dengan 74 mata sekaligus menolak Kasma Daniel Kasmayuddin turun ke tangga ketiga dengan 70 mata.
Sementara itu, Tengku Amirul Hafiruddin kembali gah ke podium teratas kategori CP115 apabila berjaya mencatat kemenangan dengan catatan masa 13’50.314s, 3.721 saat di hadapan pesaing-pesaing di kelompok kedua.
Ahmad Syukran Aizat pula menamatkan perlumbaan di tempat kedua dengan 13’54.035s diikuti Mohd Fareez Afeez di tempat ketiga dengan 13’55.254s.
Kemenangan terbaru ini telah memberikan kelebihan 40 mata kepada Tengku Amirul. Pelumba Motul Zeneos Yamaha YY Pang itu mengukuhkan kedudukannya di tangga teratas kategori CP115 dengan 113 mata.
Mohd Fareez Afeez naik ke tangga kedua dengan 73 mata manakala Mohd Haziq Mohd Fairues jatuh ke tangga ketiga dengan 71 mata.
Dalam kategori Wira KBS pula, Mohd Syarifuddin Azman berjaya meraih kemenangan kedua berturut-turut musim ini.
Syarifuddin yang memulakan perlumbaan dari garisan pertama, berjaya merampas holeshot dari pelumba di petak pertama, iaitu Mohd Danial Syahmi dari pasukan SIC Junior Team AFB TECH Racing.
Syarifuddin, yang mewakili pasukan Idemitsu Kozi Yam Honda Racing, membuktikan bahawa beliau mampu menangani tentangan hebat dari Danial Syahmi. Syarifuddin berjaya mengawal rentak perlumbaan 12-pusingan sehingga ke garisan penamat dengan masa 11’15.080s.
Danial Syahmi terpaksa akur di tempat kedua dengan catatan masa 11’15.683s manakala tempat ketiga disambar Mohd Alif Ashraf Tahiruddin dengan 11’15.700s
Namun demikian, Danial Syahmi yang telah mempamerkan prestasi yang cukup konsisten musim ini, berjaya mengekalkan kedudukannya di tangga teratas kategori Wira KBS dengan 97 mata. Mohd Alif Ashraff Tahiruddin berada di tangga kedua dengan 72 mata dan Mohd Fadlyshah Redzuan pula di tangga ketiga dengan 60 mata.
Musim 2018 Kejuaraan Cub Prix Malaysia AAM PETRONAS akan bersambung dengan Pusingan 6 di Kangar, Perlis pada 22 dan 23 September nanti.
KEPUTUSAN PUSINGAN 5, TELUK INTAN, PERAK
CP150
1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:15.623s
2 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing 17:22.237s
3 Md Hafiza Rofa (TRG) ONEXOX TKKR Racing Team 17:24.225s
4 Md Rozaiman Md Said (PNG) AHM Motorsports Yamaha Racing 17:41.015s
5 Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 17:41.693s
Kedudukan Keseluruhan
1 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 115 mata
2 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 74 mata
3 Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 70 mata
4 Md Helmi Azman (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 45 mata
5 Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 40 mata
CP115
1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:50.314s
2 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 13:54.035s
3 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 13:55.254s
4 Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 13:55.801s
5 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 13:56.067s
Kedudukan Keseluruhan
1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 113 mata
2 Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 73 mata
3 Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 71 mata
4 Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 70 mata
5 Md Shafiq Ezzariq (SGR) Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing 55 mata
WIRA KBS
1 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:15.080s
2 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:15.683s
3 Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 11:15.700s
4 Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 11:20.920s
5 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 11:22.781s
Kedudukan Keseluruhan
1 Md Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB TECH Racing 97 mata
2 Md Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta YAMAHA 72 mata
3 Md Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 60 mata
4 Md Syarifuddin Azman (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 58 mata
5 Md Harith Haziq Zamri (SGR) SIC Junior Team AFB TECH Racing 42 mata