Pemain import Selangor, Sandro da Silva, berkongsi kesedihannya mengenai penularan pandemik COVID-19 yang kini semakin buruk di Brazil malah turut berlaku kematian membabitkan ayah saudaranya dan beberapa orang rakan lain.

Situasi itu membuatkan Sandro begitu bimbang terhadap keselamatan ayah dan ibunya selain adik beradiknya lain di mana dia sering menghubungi mereka bagi memastikan semuanya dalam keadaan selamat.

Sandro mengharapkan keadaan di sana agar segera kembali pulih secepat mungkin agar dia boleh memberikan tumpuan 100 peratus aksinya bersama Selangor dalam mengharungi kempen Liga Malaysia yang dijangka boleh bersambung pada bulan September.

“Saya kini dalam situasi sukar memandangkan kes di Brazil semakin bertambah dan saya ada keluarga di sana terutama ayah serta ibu, mereka ini adalah golongan berisiko kerana faktor umur.

“Ekoran perbezaan masa yang terlalu ketara di sana, sukar saya hendak tidur dengan sempurna tiap-tiap hari kerana memikirkan keadaan mereka dan saya sentiasa berhubung agar tidak berlaku apa-apa.

“Saya berdoa kepada tuhan agar keadaan akan cepat baik tambahan situasi politik di sana juga cukup meruncing namun paling penting, saya mahukan semua saudara saya selamat walaupun saya telah kehilangan seorang ayah saudara kerana COVID-19 ekoran telah sakit sebelum wabak ini muncul selain faktor usia.

 

Cuplikan Semua Gol Suzuki AFF 2016 â—Ź All Goal Dari Kualifikasi Sampai Final â—Ź HD

“Beberapa orang rakan baik saya yang bermain bola dengan saya sejak daripada kecil juga telah meninggal dunia kerana COVID-19 dan saya tidak berkesempatan untuk ucapkan selamat tinggal tetapi inilah kehidupan, kita kena teruskan dan cuba lindungi orang-orang tersayang yang kita masih ada selain cuba untuk membantu rakan-rakan yang terkesan di sana,” katanya.

Selepas Amerika Syarikat, Brazil menjadi negara kedua terbesar yang rakyatnya dijangkiti COVID-19 apabila telah melebihi 1 juta selain merekodkan lebih 58,000 kematian setakat hari ini.

Malah situasi itu dijangka akan bertambah buruk berikutan ramalan beberapa beberapa media antarabangsa jumlah kes di Brazil boleh mengatasi Amerika Syarikat pada masa akan datang.

Mengenai aksi Liga Malaysia yang dijangka akan disambung tidak lama lagi, Sandro akui semua pemain dan pasukan pasti berdepan tugas sukar dalam membentuk kembali kecergasan selepas tiga bulan tanpa bola sepak.

Biarpun begitu, dia gembira musim ini masih dapat diteruskan dan berharap Selangor mampu bersedia 100 peratus sebelum hadapi perlawanan sulung Liga Malaysia.

“ Bagi saya situasi sekarang lagi mencabar daripada persiapan pra musim kerana tiga bulan tanpa bola sepak adalah terlalu lama berbanding satu setengah bulan atau dua bulan kita berehat sebaik lagi berakhir.

“ Sememangnya tahap kecergasan kami untuk turun bermain dalam perlawanan kompetitif sudah berada di tahap terendah namun kami akan cuba fikir positif bagi meraih kembali kemampuan seperti di awal musim.

“ Tujuh lagi baki perlawanan Liga Super, kami akan anggap seperti pentas separuh akhir buat kami dan akan bekerja keras mendapatkan seberapa banyak mata dari setiap perlawanan ke tiap perlawanan, “ katanya.

- Advertisement -