Oleh Ku Mohd Lufti
Saingan Formula One Grand Prix Malaysia pastinya menjanjikan satu cabaran baru buat pelumba pasukan Redbull Racing, Daniel Ricciardo bagi musim ini.
Seperti musim musim lalu, faktor cuaca sentiasa menjadi perkara utama yang perlu difikirkan Ricciardo untuk memastikan beliau selesa memandu di Litar Antarabangsa Sepang.
“Kami tahu GP Malaysia sentiasa panas dan memerlukan tumpuan fizikal, kami perlu pastikan segala persiapan secara terperinci dan selesa sebelum ke sini. Saya harapkan keputusan yang baik bagi perlumbaan ahad ini.” Kata Daniel Ricciardo.
Saingan GP Malaysia tahun lalu, pelumba berusia 27 tahun ini menamatkan perlumbaan ditempat ke 10 manakala 2014, beliau gagal menamatkan perlumbaan.
Namun, bagi tahun ini, pelumba kelahiran Australia ini lebih cemerlang berbanding musim musim lalu apabila meraih lima podium dalam 15 perlumbaan termasuklah di GP Singapura 18 September lalu.
“Saya mempunyai rekod dan keputusan yang terbaik dalam perlumbaan sebelum ini dan berjaya menaiki podium sebanyak empat kali dalam lima perlumbaan terakhir.
“Jika saya mampu kekalkan momentum ini, ianya pasti berakhir dengan keputusan yang baik, tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi, tetapi saya akan cuba.” Katanya lagi.
Dalam kesibukan untuk melakukan persiapan menjelang GP Malaysia minggu ini, Daniel Ricciardo tetap meluangkan masa bertemu peminat peminat dan penaja, Hisense di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).