Mohd Rozaiman Mohd Said mengharapkan tuah beraksi di halaman sendiri dapat membantu untuk meraih keputusan terbaik dalam saingan CP150 pada pusingan kelapan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Batu Kawan, Pualu Pinang pada 27 dan 28 Oktober ini.
Pelumba AHM Motorsports Yamaha Racing itu ketika ini menduduki tangga ke-14 keseluruhan setelah mengumpul 30 mata dengan pencapaian terbaik menamatkan saingan di tempat keempat pada pusingan kelima yang berlangsung di Teluk Intan, Perak pada 1 September lepas.
“Mudah-mudahan semuanya berjalan dengan baik minggu ini termasuklah keadaan cuaca. Dari segi jentera, sudah pasti pasukan kami akan terus mencari formula terbaik menjelang aksi di Batu Kawan ini,” jelas pelumba kelahiran Pulau Piang itu.
Tambahnya, “Walaupun akui saingan kelompok depan selalunya sengit melibatkan kumpulan pendahulu ketika ini, namun saya yakin pelumba-pelumba lain termasuk dari pasukan kami mampu memberikan saingan.
“Saya menetapkan sasaran untuk layak ke Superpole dan dapat menamatkan perlumbaan di kelompok lima terbaik, dan bonus seandainya dapat menamatkan perlumbaan di podium.”