Ahmad Afif Amran akan kembali ke saingan Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix pada hujung minggu ini berbekalkan motivasi dan semangat baru sebagai seorang ayah.
Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing ini yang pernah bergelar Juara Berganda CP150 bagi musim 2018 dan 2019 berjaya mengekalkan rentak konsisten pada musim lalu.
Beliau telah berjaya melangkah ke podium sebanyak enam kali dari keseluruhan 10 perlumbaan dengan tiga kemenangan untuk menduduki tempat kedua keseluruhan.
Pelumba yang telah menimang anak lelaki baru-baru ini berkata, “Cabaran saya adalah untuk mengimbangi masa dan tenaga untuk menguruskan komitmen antara keluarga dan kerjaya.
“Saya akan berusaha untuk beraksi dengan lebih kompetitif pada kejuaraan tahun ini dan mudah-mudahan dapat mencapai hajat menaiki podium.”
Tahun lepas, kelajuan jentera PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing digabungkan dengan kemahiran tunggangan Afif membolehkan mereka mencatat keputusan yang memberangsangkan.
“Tahun ini, kami agak bersedia dan seperti pasukan lain juga, pasukan kami mencari pengubahsuaian yang lebih sempurna dan bersesuaian dengan jentera dan pelumba.
“Kami juga ada buat sedikit perubahan pada jentera berdasarkan data yang telah diperolehi dari perlumbaan musim lalu.”
“Matlamat kami tahun ini adalah untuk mendapatkan kedudukan tiga terbaik keseluruhan dan berharap doa daripada peminat untuk menyokong terus tanpa henti untuk mencapai kedudukan terbaik setiap pusingan.”