Kemenangan Nazirul Izzat Md Bahauddin dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada pusingan ketiga Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix bagi kategori CP150 yang berlangsung di Litar Selatan Sepang telah mengukuhkan lagi kedudukannya di tangga kejuaraan.
Prestasi Nazirul tampak hebat di setiap pusingan pada musim ini. Beliau telah menunjukkan kemahirannya bukan sahaja dalam pengendalian jentera pada kelajuan yang tinggi tetapi juga dari segi kemahiran teknikal.
Pelumba yang berusia 22 tahun mula giat dalam kesukanan permotoran sejak umur 13 tahun lagi. Beliau bermula sebagai pelumba “One-Make Honda” sebelum mara ke peringkat Wira KBS, CP115 dan CP130. Pada tahun lepas, Nazirul mendapat tempat keempat secara keseluruhan di Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix dan telah menaiki podium di tempat pertama tiga kali bagi kategori CP150 sejak 2019.
Bagi pusingan yang akan datang, beliau berkata, “Untuk pusingan yang akan datang, saya akan pastikan stamina saya di tahap yang terbaik. Saya harus lebih fokus kerana litar Terengganu agak kecil dan memerlukan kemahiran teknikal. Saya akan bekerjasama dengan mekanik untuk mencari “setup” motorsikal yang terbaik.”
“Kesemua perlumba juga sangat berpengalaman jadi pelan saya cuma untuk memberikan perhatian sepenuh dan bersama dengan pasukan saya, saya akan berusaha untuk mengutip mata keseluruhan agar saya dapat mengekalkan kedudukan saya dalam tempat tiga teratas.”
Menurut Pemilik Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Yong Ying Hoe, “Kami akan buat yang terbaik untuk meningkatkan lagi kemampuan jentera kami berdasarkan data yang telah kami perolehi.”
“Untuk pusingan di Terengganu, sudah pasti kami akan berjuang untuk kemenangan di podium.”