Pusingan kedua Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali ke Kompleks Sukan Permotoran Tangkak pada hujung minggu ini. Md Irfan Haykal dari pasukan Honda KC Racing sudah bersedia untuk menyahut cabaran di kategori CP125.

Musim lepas agak mencabar bagi Irfan yang hanya mampu menamatkan perlumbaan 10-pusingan ini di tempat kesepuluh selepas meraih podium sebanyak dua kali termasuk satu kemenangan.

Namun begitu, Irfan telah memulakan musim baharu di bandar Jasin dengan nada yang positif setelah mengatasi saingan daripada pelumba-pelumba lain untuk meraih tempat pertama di podium. Kemenangan ini juga menandakan suatu permulaan yang baik untuk pasukan Honda KC Racing dan kemungkinan besar, juga pemangkin bagi kejayaan-kejayaan seterusnya untuk musim ini.

Tahun ini merupakan tahun ketiga bagi Irfan di kategori CP125. Sebelum itu, beliau berlumba di kategori Wira KBS pada tahun 2021 di mana beliau tampil dengan “hat-trick” apabila memenangi tiga pusingan berturut-turut sebelum menamatkan musim tersebut di tangga kedua secara keseluruhan.

Walaupun Irfan masih kurang pengalaman berbanding dengan pelumba-pelumba lain di kategori ini namun begitu, beliau telah menunjukkan kebolehannya untuk bertanding secara kompetitif. Pada musim lepas, Irfan telah meraih kemenangan pertamanya di Litar Tangkak.

Menurut Irfan, “Bagi saya, cabaran tetap ada dan bagi musim ini, sukar untuk saya berikan pendapat kerana masih awal lagi. Untuk pusingan pertama hari itu di Jasin, saya berjaya melakar “lap time” yang baik dan Syukur kerana jentera saya pun dalam keadaan yang sangat baik.

“Sudah pasti saya akan gunakan pengalaman di Jasin hari itu untuk buat lebih baik di litar Tangkak nanti. Saya memang tidak sabar untuk berlumba di situ walaupun pada musim lepas, saya pernah mengalami kecederaan di situ ketika buat latihan.”

“Dari segi persiapan, saya lebihkan latihan fizikal dan mental menerusi program-program kecergasan. Selain itu, pasukan dan mekanik saya juga bertungkus-lumus untuk membina enjin yang lebih baik untuk pusingan yang akan datang nanti.

“Bagi saya, setiap pasukan ada kelebihan dan kelemahan dalam mendapatkan “setup” yang bagus tetapi saya percayakan pasukan saya dan saya yakin dengan kepakaran mereka dalam menyediakan jentera yang baik untuk saya. Pesaing saya adalah Khairi dari pasukan YYPang.

“Beliau meraih gelaran juara pada musim lepas dan saya pasti yang Khairi akan cuba mengulangi kejayaan tersebut pada musim ini. Tetapi, matlamat saya adalah untuk menamatkan setiap perlumbaan di podium jika ada rezeki dan cuba untuk kumpul sebanyak mata yang boleh.”

- Advertisement -