Pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing, Md Aliff Danial Md Asri membuka gelanggang dengan melakar catatan masa terpantas pada sesi kelayakan kelas Wira (Kumpulan A) di Pusingan 7 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas yang bermula di Litar Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra Kangar, Perlis.
Pelumba yang berasal dari Johor itu mencatatkan masa 43:666 saat (s) sepusingan, sekali gus direkodkan sebagai catatan terpantas pada sesi kelayakan tersebut di litar sejauh 0.949 kilometer (km) itu.
Aliff turut tampil cemerlang pada sesi latihan bebas apabila mencatat masa terpantas 45.028s. Ia bagaikan amaran awal daripada Aliff dalam misi untuk mengotakan impiannya menawan Litar Kangar selepas pencabar terdekatnya, Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) agak kehilangan rentak.Â
Prestasi Zaki kurang menyengat hari ini apabila sekadar menamatkan sesi kelayakan (Kumpulan B) di tempat kelapan terpantas dengan catatan masa 44.573s, sekali gus gagal menempatkan diri dalam Shoot Out.
Zaki yang muncul juara pada saingan di Teluk Intan dua minggu lalu kini mendahului kedudukan keseluruhan dengan meraih 110 mata manakala Aliff berada di tempat kedua dengan 95 mata.
Sesi kelayakan Kumpulan B diungguli pelumba pasukan ONEXOX SAG Team, Md Norhakim Norhafizullah dengan catatan masa terpantas sepusingan 43.975s.
Tempat kedua terpantas pula menjadi milik Md Haziq Rosmaza (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing) dengan masa 44.053s.
INFO Keputusan sesi kelayakan (Lima teratas)
Wira Kumpulan A
Md Aliff Danial Md Asri (JHR) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 43.666s
Akif Hakimi Zainuddin (SEL) Wiramuda V-Fiertech Academy Racing – 44.171s
Md Izzat Md Raduan (NS) ONEXOX SAG Team – 44.206s
Md Adib Md Asri (JHR) ELF Koyoko Honda KC Racing Team – 44.452s
Md Idlan Haqimi Raduan (NS) Idemitsu Kozi DFZ Yam Honda Racing – 44.536s
Wira Kumpulan B
Md Norhakim Norhafizullah (KTN) ONEXOX SAG Team – 43.975s
Md Haziq Rosmaza (KUL) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 44.053s
Md Amier Rossi Amidi (PHG) Super KIP Motorsports – 44.158s
Md Afizad Supaat (SEL) Super KIP Motorsports – 44.204s
Md Adam Haikal Jahar (JHR) Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 44.242s