Md Azhar Abd Jalil melakar kejutan apabila berjaya menawan litar Pontian, Johor selepas muncul juara kelas CP150 pada aksi Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas hari ini.

Pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang itu memenangi perlumbaan tersebut dengan catatan masa keseluruhan 17:30.022 saat (s).

Ia adalah kemenangan pertama buat Azhar musim ini selepas bergelut dengan prestasi yang tidak menentu sejak awal musim lagi.

Begitupun, dia hampir terlepas gelaran tersebut apabila dipintas oleh pencabar terdekatnya, Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) di pusingan ke-18, namun Azhar kembali merampas kedudukan gara-gara kesilapan yang dilakukan oleh pesaingnya itu di pusingan terakhir.

Tanpa menoleh ke belakang, Azhar terus memecut ke garisan penamat untuk menghadiahkan kemenangan yang amat bermakna buat pasukan yang disertainya sejak tahun 2007 itu.

Menurut pelumba berusia 26 tahun itu, strateginya pada perlumbaan tersebut adalah untuk cuba berada di hadapan namun keadaan jenteranya kurang stabil.

“Semua pelumba bersaing secara selamat kerana keadaan litar yang sangat mencabar. Litar ini terlalu banyak selekoh U dan ia menyukarkan kami untuk memecut ke tahap maksimum.

“Saya hanya mengekalkan momentum sambil menunggu peluang untuk menempatkan diri di hadapan. Apabila menyedari keadaan jentera Afif yang semakin hilang tahap kelajuannya, saya mula melancarkan gerak, sekali gus berjaya memimpin perlumbaan,” jelas Azhar yang kini berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan mengumpul 43 mata.

Afif yang kekal mendahului carta keseluruhan dengan 78 mata, menduduki tempat kedua perlumbaan tersebut dengan masa 17:30.190s.

Tempat ketiga berada dalam genggaman pelumba ONEXOX TKKR SAG Team, Fakhrusy Syakirin Rostam dengan masa 17:33.638s.

Dalam kategori CP115, Md Syafik Rosli kembali menyengat apabila muncul juara dengan catatan masa 9:07.283s.

Syafik yang memenangi perlumbaan Pusingan 2 di Batu Kawan, Pulau Pinang sebelum ini, membuktikan bahawa dia berhak bergelar Raja CP115 walaupun gagal menamatkan perlumbaan pada Pusingan 1 di Jasin, Melaka awal tahun ini dan Pusingan 3 di Tangkak, Johor.

Hari ini, semuanya berjalan dengan sempurna bagi membolehkan pelumba pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu bergelar juara buat kali kedua musim ini.

Tempat kedua menjadi milik Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dengan masa 9:10.755s manakala pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang, Md Khairi Asyraf Mahmood di tempat ketiga dengan catatan masa 9:13.468s.

Kedudukan keseluruhan kelas CP115 kekal diungguli Ahmad Syukran dengan sejumlah 80 mata. Sementara itu, kategori Wira menyaksikan penguasaan Md Zaki Zamri yang muncul juara dengan catatan masa 11:13.521s.

Kemenangan tersebut terus memberi keselesaan kepada pelumba asal Selangor itu untuk memimpin kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 85 mata.

Aliff Danial yang muncul naib juara pada perlumbaan hari ini kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 50 mata. Pusingan 5 kejuaraan ini akan berlangsung di Kuala Terengganu pada 23-24 Ogos nanti.

 

 

KEPUTUSAN (5 teratas)

CP150

Md Azhar Abd Jalil (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 17:30.022s

Ahmad Afif Amran (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 17:30.190s

Fakhrusy Syakirin Rostam (ONEXOX TKKR SAG Racing Team) – 17:33.638s

Tengku Amirul Haffirudin (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 17:36.349s

Md Akid Aziz (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 17:38.608s

 

CP115

Md Syafiq Rosli (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) 9:07.283s

Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing) – 9:10.758s

Md Khairi Asyraf Mahmood (Motul Yamaha YY Pang Racing) – 9:13.468

Md Alif Ashraf Tahiruddin (Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor) – 9:15.273s

Md Fareez Afeez Abd Rahman (Motul Yamaha YY Pang Racing9:19.549s

 

Wira

Md Zaki Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing) – 11:13.521s

Md Alif Danial Asri (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 11:17.319s

Akif Hakimi Zainuddin (Wiramuda V-FIERTECH Academy Racing – 11:22.220s

Md Afizad Supaat (Super KIP Motorsports – 11:28.370s

Awal M Al Fikri Yusni (Petronas Sprinta Yamaha-31 Racing – 11:28.829s

- Advertisement -