Azroy Hakeem Anuar lulus ujian pertama pada aksi penutup tirai Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 yang bermula di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.
Pelumba pasukan Idemitsu Honda Yuzy Racing itu muncul terpantas pada sesi kelayakan kelas CP150 dengan catatan masa 1:17.031 saat (s).
Masa yang direkodkan pelumba asal Selangor itu bakal menyaksikannya bermula di barisan hadapan pada perlumbaan sebenar esok, namun dia perlu melepasi satu lagi ujian apabila turun mengharungi sesi Superpole yang akan menentukan kedudukan petak.
Pelumba pasukan ONEXOX TKKR SAG Team, Md Hafiza Rofa pula muncul pelumba kedua terpantas dengan masa 1:17.140s sepusingan manakala Md Affendi Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) di keduduian ketiga dengan masa 1:17.184s.
Pada sebelah pagi, Azroy turut tampil cemerlang apabila mencatat masa terpantas pada sesi latihan bebas kedua dengan masa 1:17.834s.
Apa yang dibuktikan oleh Azroy pada sesi hari ini membuktikan kesungguhannya untuk memburu gelaran naib juara keseluruhan kelas CP150 musim ini selepas mahkota keseluruhan sudah berada dalam genggaman pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran.
Azroy yang berada di kedudukan ketiga keseluruhan dengan 102 mata, kini bersaing dengan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz untuk perebutan gelaran naib juara keseluruhan. Akid kini berada di kedudukan kedua dengan 112 mata.
Bagi sesi kelayakan kelas CP115 pula, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang Racing, Md Adib Rosley berada dalam kelas tersendiri untuk muncul terpantas dengan catatan masa 1:23.261s sepusingan.
Pelumba pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli di kedudukan kedua apabila merekodkan masa terpantas 1:23.445s.
Md Shafiq Rasol (ONEXOX TKKR SAG Team) pula di tempat ketiga terpantas dengan catatan masa1:23.514s.
Sesi kelayakan kelas Wira pula menyaksikan penguasaan Md Aeiman Hafidz Shahril (ONEXOX SAG Team) yang merekodkan masa terpantas 1:24.7082s.
Saingan bagi kelas CP115 dan Wira pasti menarik esok kerana misi memburu gelaran keseluruhan masih terbuka.
Mahkota keseluruhan kategori pelumba kelas CP115 kini menjadi perebutan antara Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing) dan Md Syafiq.
Syukran yang memimpin kedudukan keseluruhan sudah mengumpul 160 mata manakala Syafiq di tempat kedua dengan 153 mata.
Pemburuan gelaran juara bagi kelas Wira pula menjadi penentuan antara Md Aliff Danial (PETRONAS Sprinta Yamaha-31 Racing) dan Md Zaki Ahmad Zamri (MOS William #LLRKS CYT Racing).
Aliff kini sudah mengumpul 132 mata manakala Zaki meraih 126 mata.
Aliff ketika ditemui menjelaskan bahawa dia tidak mahu memikirkan mengenai gelaran keseluruhan kerana mahu memberi fokus terhadap perlumbaan terlebih dahulu.
“Saya akan melakukan yang terbaik dengan sasaran untuk menamatkan perlumbaan dengan penyudah podium.
“Buat masa ini, fokus saya hanyalah untuk menikmati perlumbaan dengan baik dan pada masa yang sama berharap agar keadaan jentera terus stabil,” jelas Aliff.