Mohd Izam Ikmal dari pasukan SCK Honda Racing Team bakal memainkan peranan sebagai ‘pengacau’ dalam pertembungan terakhir musim 2021 Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix minggu ini.
Pelumba Honda tersebut membuat kejutan dalam sesi kelayakan CP150 apabila berjaya mencatat masa terpantas 1’20.732s. Izam mengaku dirinya turut terkejut dengan keputusan sesi kelayakan CP150.
“Saya begitu teruja dan sedikit terkejut dengan keputusan hari ini. Saya tidak pernah terfikir ingin ‘kacau daun’ dalam buruan takhta CP150 ini. Matlamat saya dalam sesi kelayakan tadi hanya ingin terus mengasah skil peribadi dengan mengekori rapat pelumba-pelumba handalan lain,” jelas Izam yang menduduki tangga ke-15 keseluruhan selepas lapan pusingan Kejuaraan.
Daripada lima pelumba yang berpeluang bergelar juara musim ini, hanya empat pelumba yang berjaya melayakkan diri untuk menyertai sesi SuperPole pada hari perlumbaan. Kasma Daniel Kasmayudin mencatat masa kedua terpantas denga 1’20.863s.
Pendahulu kejuaraan, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, mencatat masa ketiga terpantas dengan 1’20.981s. Namun, Azroy nampaknya semakin tertekan setelah dua kali terjatuh semasa sesi latihan bebas dan sesi kelayakan.
Mohd Akid Aziz mencatat masa keempat terpantas manakala Ahmad Afif Amran yang sedang mengejar gelaran juara ketiga dalam karier peribadinya, mencatat masa ke-6 terpantas.
Dalam kategori CP125, pendahulu kejuaraan Mohd Adib Rosley memilih strategi yang lebih konservatif. Adib hanya perlu menamatkan dua perlumbaan terakhir di kalangan 10 pelumba teratas untuk mengesahkan kedudukannya sebagai Juara CP125 musim 2021. Menampakkan keadaan hujan lebat dalam sesi kelayakan CP125, Adib memilih untuk menggunakan strategi yang selamat dan menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-lapan dengan catatan masa 1’31.951s.
Masa terpantas CP125 dicatat oleh Mohd Harith Farhan Baharin dari Tuneboss Pink Racing dengan 1’30.715s. Mohd Faiz Zekri Sabri yang mewakili pasukan Onexox Racing Team mencatat masa kedua terpantas dengan 1’31.032s.
Akhir sekali, pelumba Castrol Power1 Honda Team Mohd Harith Haziq Zamri cuba mengukir kelebihan dalam kategori Wira KBS apabila berjaya mencatat masa terpantas 1’32.480s. Beraksi di atas litar yang basah, catatan masa kedua terpantas disambar oleh Mohd Farish Iqmal dari pasukan Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team dengan 1’33.127s.
ROUND 9 QUALIFYING RESULTS
CP150
1. Mohd Izam Ikmal (Honda, SCK Honda Racing Team), 1’20.732s
2. Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor), 1’20.863s
3. Azroy Hakeem Anuar (Honda, Honda Yuzy Idemitsu Team), 1’20.981s
4. Mohd Akid Aziz (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 1’21.011s
5. Mohd Muzakkir Mohamed (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 1’21.364s
CP125
1. Mohd Harith Farhan Baharin (Yamaha, Tuneboss Pink Racing), 1’30.715s
2. Mohd Faiz Zekri Sabri (Yamaha, Onexox Racing Team), 1’31.032s
3. Mohd Hafiza Rofa (Yamaha, ONEXOX TKKR Racing Team), 1’31.290s
WIRA KBS
1. Mohd Harith Haziq Zamri (Honda, Castrol Power1 Honda Team), 1’32.480s
2. Mohd Farish Iqmal Khayrul Elyas (Honda, Moto1 Koyoko Honda KC Racing Team), 1’33.127s
3. Mohd Farid Hakimi Farid Sezli (Honda, Idemitsu DFZ Yam Honda Racing), 1’33.410s