Pengurus Idemitsu Honda Givi Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini mahu anak buahya sekali lagi meraih podium pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di Bandar Penawar, Johor pada 15 dan 16 Disember ini.
Selepas melalui lapan pusingan musim 2018 yang cukup mencabar khususnya buat jentera Honda, Azroy Hakeem Anuar menghadirkan keceriaan buat kem Yuzy Racing apabila berjaya meraih podium di tempat ketiga dalam kategori CP150 sewaktu perlumbaan lepas di Jempol, Negeri Sembilan setelah kali terakhir mereka meraih podium melalui Mohd Zaqhwan Zaidi pada pusingan pembukaan musim 2017 di Temerloh, Pahang.
Azroy Hakeem menamatkan perlumbaan di belakang juara, Kasma Daniel Kasmayuddin dan juga juara keseluruhan Ahmad Afif Amran yang berada di kedudukan kedua.
Sebelum itu Mohd Aiman Azman hampir menghadiahkan podium buat pasukan kendalian bekas pelumba MotoGP negara itu namun sedikit kesilapan menyaksikan Aiman terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di kedudukan keempat.
“Untuk perlumbaan terkahir musim ini, kami telah melakukan persediaan rapi sama seperti seperti sebelum ini dan saya berharap seluruh ahli pasukan dapat sekali lagi menyediakan jentera terbaik kepada pelumba-pelumba.
“Pada masa sama, saya juga harap pelumba dapat memberikan aksi terbaik mereka dan saya berharap gandingan dua pelumba CP115 dapat menghadiahkan satu podium sebelum saingan musim ini berakhir,” jelas Yuzy.